picture

News

 

Dewan Negara: RM50 juta perkasa penanaman padi bukit di Sabah, Sarawak

Posted on 21 Mar 2024
Source of News: TVS

Peruntukan sebanyak RM50 juta telah diluluskan kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memperkasa penanaman padi bukit di Sabah dan Sarawak pada tahun ini. Foto hiasan, Envato.
 

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Peruntukan sebanyak RM50 juta telah diluluskan kerajaan bagi memperkasa penanaman padi bukit di Sabah dan Sarawak pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, kerajaan menyedari potensi padi bukit sebagai sumber pendapatan kepada pesawah dan telah melaksanakan beberapa usaha untuk melipatgandakan hasilnya.

Jelas beliau, ini termasuk meneruskan pemberian input pertanian bersubsidi iaitu Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit (SBRPB).

“Program ini bermatlamat untuk meringankan beban pesawah serta mengurangkan kos pengeluaran padi bukit,” katanya pada Sidang Dewan Negara hari ini.

Sementara itu, Arthur memaklumkan Kerajaan Sarawak turut bekerjasama dengan syarikat swasta bagi memasarkan hasil beras istimewa dari wilayah berkenaan ke Semenanjung Malaysia.

“(Setakat ini) pelbagai varieti beras Sarawak telah dijual di pasar raya utama di sini,” katanya.

Berdasarkan data terkini jelasnya, kawasan penanaman padi bukit di Sarawak adalah seluas 15,497.50 hektar dan di Sabah pula 13,248.28 hektar.

“Sebanyak 28,643 tan metrik jumlah pengeluaran padi bukit direkodkan di Sarawak manakala di Sabah sebanyak 28,400 tan metrik pada 2022.

“Seramai 27,100 orang pesawah terlibat dalam penanaman padi bukit di Sarawak yang majoriti kaum Iban,” tambahnya lagi. -TVS