
KUCHING: Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA) menggesa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengkaji semula proses pelaksanaan mekanisme urus niaga harga wajar atau pindaan Akta Kawalan Harga Tandan Buah Segar (BTS).
Presiden Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA), Napoleon R Ningkos, berkata pihaknya mendapati terdapat jurang harga yang besar bagi BTS di negeri ini, iaitu antara RM60 hingga RM90 bagi setiap tan.
“Beberapa isu juga telah dikemukakan kepada DOPPA, antaranya peniaga BTS menawarkan harga yang lebih tinggi daripada kilang penerima.
“DOPPA juga mendapati perbezaan harga adalah sangat tinggi iaitu antara RM550 hingga RM700 setiap satu tan berdasarkan gred buah A, B dan C yang dipamerkan oleh kilang sawit dan peniaga BTS,” katanya menerusi satu kenyataan.
Selain itu, beliau menambah kilang-kilang terbabit turut mengenakan pelbagai caj dan kadar yang berbeza termasuk diskaun penapisan, kos ‘Sarawak Discount’ (CIF), kos pengangkutan, caj penapisan dan yuran pemprosesan di dalam MPOB Cess dan Cukai Jualan Sarawak (SST).
Napoleon berkata, menurut laman sesawang MPOB pada 7 Mac 2024, harga minyak sawit mentah (MSM) berada pada paras RM4,093 satu tan.
Katanya pada tahap harga itu selepas mengambil kira MPOB Cess, CIF dan SST mengikut pengiraan standard pada kadar perahan minyak (OER) 19 peratus dan kadar perahan isirong (KER) 3.5 peratus, harga satu tan BTS sepatutnya berada pada paras RM700 hingga RM720.
“DOPPA sedia maklum bahawa penjualan BTS adalah berdasarkan konsep pembeli dan penjual rela mengikut harga yang ditetapkan MPOB bagi kadar 1 peratus OER, dan beberapa faktor lain turut menyumbang kepada perbezaan harga seperti kos pemprosesan, pengangkutan dan kualiti buah sawit.
“Bagaimanapun, DOPPA mendapati ada jurang harga yang besar dalam kawasan kejiranan iaitu antara RM60 hingga RM90 bagi setiap tan BTS terutamanya antara peniaga BTS,” katanya.
Justeru, Napoleon menegaskan elemen-elemen yang mempengaruhi penentuan satu tan BTS perlu diketahui oleh semua penjual BTS terutamanya pekebun kecil bebas supaya tidak berlaku manipulasi harga selain membantu meningkatkan tahap pengetahuan pekebun kecil tentang pengiraan harga BTS.
“DOPPA percaya satu mekanisme yang telus perlu diperkenalkan bagi menunjukkan kaedah pengiraan standard untuk mendapatkan harga satu tan BTS, dan perlu dipamerkan buat pengetahuan penjual buah sawit khususnya pekebun kecil bebas.
“Dengan cara ini, pekebun kecil bebas boleh mendapatkan maklumat seperti OER dan KER yang diberikan, kos pengangkutan yang dikenakan, dan kos pemprosesan yang diambil kira dalam pengiraan.
“Maklumat seperti ini boleh dipaparkan setiap minggu buat penjual BTS yang menerima bayaran tunai dan bulanan bagi pekebun kecil yang mendapat gaji bulanan,” katanya.
Beliau berkata dengan wujudnya kaedah pengiraan yang telus bagi menentukan harga satu tan BTS, DOPPA percaya pekebun kecil bebas dan juga penjual buah sawit lain akan dapat membuat keputusan di mana untuk menjual buah mereka selepas mendapat maklumat mengenai kaedah pengiraan yang dipaparkan.