Projek Tambah Baik Jalan Ladang & Cadangan Pembinaan Baru Jalan Ladang Sebuyau Dilaksana

Posted on 18 Jan 2024
Source of News: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)



SEBUYAU: Penduduk di Kampung Sebangan dan Kampung Seruyuk akan menerima manfaat apabila projek untuk menambah baik jalan ladang di kampung mereka siap kelak.

Setiausaha Sulit kepada Menteri Utiliti dan Komunikasi, Mohamad Amirul Hamzah bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Samarahan, Pejabat Daerah Sebuyau dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau telah mengadakan satu lawatan serta tinjauan ke tapak projek yang akan dilaksanakan itu pada Khamis. 

Rombongan tersebut telah memulakan tinjauan ke tapak projek bagi cadangan menaik taraf jalan ladang di kawasan kebun kelapa di DID Sebangan Kepayang Land Blok 2 yang berjumlah RM317,361.35 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 27 April 2024.

Tinjauan diteruskan ke Kampung Seruyuk iaitu meninjau ke tapak projek bagi cadangan membina jalan ladang baharu di Kampung Seruyuk yang bernilai RM239,289.25.

Kedua-dua projek tersebut merupakan projek di bawah peruntukan daripada Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA).

Turut hadir sama lawatan ialah wakil Pegawai Daerah Sebuyau Kelvin Unggin, Jurutera DID Bahagian Samarahan Christelvin Unting, kontraktor terlibat, Ketua Masyarakat dan Petugas Pusat Khidmat DUN Sebuyau. -EDISI UKAS