
SIBU: Jabatan Pertanian Sarawak terus memainkan peranan strategik sebagai penghubung antara dasar kerajaan dan aspirasi rakyat dalam usaha memperkasa komuniti tani serta memacu transformasi sektor pertanian negeri.
Pengarahnya, Dominic Chunggat, berkata jabatan itu bukan sahaja melaksanakan dasar yang digariskan kerajaan, malah berperanan aktif mendengar serta memahami keperluan sebenar petani melalui pelbagai program pengembangan, bimbingan teknikal dan sokongan berterusan.
Menurutnya, komitmen jabatan itu turut mendapat pengiktirafan apabila tersenarai sebagai sembilan finalis terbaik Anugerah Emas kategori Jabatan sempena Hari Perkhidmatan Awam 2025 menerusi Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS).
“AKPANS merupakan pengiktirafan berprestij yang menilai tahap kecemerlangan jabatan dan agensi kerajaan dari segi tadbir urus, operasi serta penyampaian perkhidmatan berdasarkan amalan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi Jabatan Pertanian Sarawak Tahun 2026 pada Jumaat, dengan kehadiran kira-kira 350 tetamu.
Pada majlis tersebut, seramai 168 warga jabatan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebagai penghargaan atas dedikasi dan komitmen sepanjang tahun lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan penganjuran Agrofest bersama rakan strategik berjaya mencatatkan jualan sebanyak RM2.39 juta dengan kehadiran 40,331 pengunjung menerusi siri jelajah di Limbang, Pakan, Serian, Spaoh dan Subis sebelum kemuncaknya di Bintulu.
Kemuncak Sarawak Agrofest di Bintulu pula merekodkan jualan RM6.44 juta serta menarik seramai 811,544 pengunjung, sekali gus membuktikan potensi besar sektor agromakanan negeri.
“Program seperti ini bukan sahaja mempromosikan produk tempatan, malah membantu meningkatkan pendapatan serta pengetahuan komuniti tani di seluruh Sarawak,” ujarnya.
Beliau turut menggesa seluruh warga jabatan agar terus komited memacu transformasi sektor pertanian ke arah pembangunan mampan dan berasaskan teknologi, sejajar usaha memperkukuh keterjaminan makanan serta menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih makanan menjelang 2030.
Majlis turut dihadiri Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Stephen Rundi Utom; Timbalan Menteri, Martin Ben; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Adrian Susin Ambud; serta Pengurus Besar Lembaga Industri Getah Sarawak (SARIB), Make Jiwan.-EDISI UKAS