
SIBU: Sarawak menyasarkan untuk muncul sebagai pengeluar utama makanan dan pengeksport bersih pada masa depan menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), dengan penekanan kepada penyampaian berasaskan hasil dan pembaharuan menyeluruh sektor agromakanan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, berkata tahun pertama RMK-13 merupakan fasa kritikal bagi memastikan Jabatan Pertanian mencapai keputusan yang boleh diukur serta memperkukuh keselamatan makanan negeri.
“Sektor agromakanan kini menyumbang kira-kira 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri, bersamaan hampir RM50 bilion setahun, namun potensinya masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
“Pertanian mesti bergerak melangkaui pentadbiran rutin kepada penyampaian berasaskan hasil.
“Setiap bahagian perlu mempunyai pelan jelas dengan garis masa dan sasaran yang terukur,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Penilaian Tahun 2025 Jabatan Pertanian Sarawak di sini, pada Jumaat.
Beliau menegaskan, pendekatan biasa tidak lagi memadai memandangkan cabaran keselamatan makanan kini bersifat global dan menuntut tindakan proaktif serta akauntabiliti kepimpinan.
Menurut Dato Sri Dr. Stephen Rundi, Sarawak menyasarkan eksport sekurang-kurangnya 450,000 tan metrik produk pertanian setahun menjelang 2030 serta menghasilkan 25 peratus keperluan ternakan sendiri.
“Tempoh Januari hingga Mac amat penting dalam pelaksanaan program pertanian bagi memastikan inisiatif tidak terganggu musim perayaan, dengan setiap program diberi keutamaan dan pemantauan rapi,” katanya lagi.
Mengulas cabaran generasi, beliau berkata majoriti petani di Sarawak kini didominasi oleh mereka yang berumur dalam lingkungan 70 hingga 80 tahun, manakala minat golongan muda masih rendah.
Sehubungan itu, bagi menarik minat generasi muda, seramai 60 belia akan dihantar ke Australia untuk pendedahan kepada amalan pertanian moden serta memperluas mekanisasi, pertanian tepat, akuakultur dan teknologi pintar bagi mengubah persepsi mereka terhadap pertanian yang selama ini dianggap sebagai pekerjaan kotor dan berisiko.
Beliau turut menekankan kepentingan kesesuaian tanah, topografi dan akses air dalam pembangunan pertanian strategik, dengan kira-kira 14,000 hingga 15,000 hektar telah dikenal pasti untuk tujuan tersebut.
“Dalam usaha meningkatkan daya saing, fokus juga diberikan kepada komoditi utama seperti kelapa, nanas, durian, dabai, ternakan dan akuakultur, selain penambahbaikan pengurusan data, nilai tambah produk dan pemasaran bagi memperkukuh rantaian bekalan,” ujarnya.
Dato Sri Dr Stephen Rundi menegaskan bahawa walaupun lebih 70 program dilaksanakan jabatan itu, keutamaan mesti diberikan kepada keberkesanan penyampaian dan impak nyata kepada komuniti luar bandar.
“Tiada yang mustahil jika kita bekerja secara proaktif, berfikir di luar kebiasaan dan melaksanakan tanggungjawab dengan disiplin,” katanya sambil menyeru setiap peruntukan RMK-13 dibelanjakan secara berhemah demi menjadikan Sarawak pengeluar makanan yang berdaya saing di peringkat global.-EDISI UKAS