
LIMBANG: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) terus memperkukuh pembangunan sektor pertanian Sarawak apabila Bahagian Limbang memberi penekanan kepada tanaman strategik serta pelaksanaan projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) sebagai usaha meningkatkan sekuriti makanan dan merancakkan ekonomi tempatan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, bagi tahun 2026, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM326 juta kepada kementerian berkenaan, manakala Kerajaan Persekutuan menyalurkan tambahan RM158 juta.
Menurut beliau, peruntukan besar tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa sektor pertanian sebagai antara penyumbang penting kepada sekuriti makanan dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.
“Dalam RMK-13, sektor pertanian berkembang pesat di seluruh Sarawak dengan sokongan dana yang signifikan. Kita berharap bidang ini terus maju dan menyumbang secara bermakna kepada ekonomi negeri,” katanya ketika ditemui media semasa lawatan kerja ke Stesen Pertanian Limbang dan tapak TKPM, pada Khamis.
Jelas beliau, beberapa tanaman utama yang diberi fokus di Sarawak termasuk durian, kelapa, nanas dan pisang.
Manakala di Limbang, tanaman khas seperti petai dan limau madu turut diberi perhatian berdasarkan kesesuaian tanah serta permintaan pasaran yang menggalakkan.
Beliau turut memaklumkan bahawa dua projek utama sedang dilaksanakan iaitu TKPM serta Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CCPC) Limbang dan Lawas.
Projek TKPM yang merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan bermula pada 2020 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027 melibatkan keluasan keseluruhan 27 hektar.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 26 hektar diperuntukkan bagi tanaman nangka madu melibatkan enam peserta, dengan setiap peserta mengusahakan kira-kira lima hektar. Projek berkenaan kini telah mula mengeluarkan hasil.
Menurut Datuk Dr Abdul Rahman, pelaksanaan TKPM membuka peluang kepada individu yang tidak mempunyai tanah sendiri untuk menceburi bidang pertanian secara komersial sekali gus meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka.
Selain itu, pembangunan Struktur Pelindung Hujan (SPH) bagi tanaman fertigasi secara tertutup turut dilaksanakan melibatkan tanaman cili, melon serta sayur-sayuran berkualiti tinggi.
Dalam perkembangan sama, CCPC Limbang dijangka mula beroperasi tahun ini sebaik sahaja mesin dan peralatan diterima.
Pusat tersebut akan beroperasi dengan kerjasama Jabatan Pertanian yang bertanggungjawab membangunkan petani sebagai pembekal hasil pertanian kepada pusat berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa Limbang dan Lawas tidak ketinggalan dalam pembangunan sektor pertanian, malah kawasan utara Sarawak itu dikenal pasti sebagai antara kawasan yang subur dan berpotensi tinggi untuk pelbagai jenis tanaman.
Selain tanaman komersial, penanaman padi di kawasan Pendam turut diberi perhatian sebagai langkah memperkukuh sekuriti makanan tempatan.
Dengan pelaksanaan RMK-13 serta sokongan peruntukan yang kukuh, beliau yakin sektor pertanian di Limbang dan seluruh Sarawak akan terus berkembang, sekali gus memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat serta pertumbuhan ekonomi negeri.- EDISI UKAS