
SELANGAU: Penduduk di Skim Sekuau kini menikmati kemudahan perhubungan yang lebih selesa dan selamat apabila dua projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin berjaya disiapkan sepenuhnya dan diserahkan kepada komuniti setempat.
ADUN Tamin Christopher Gira Sambang berkata, projek berkenaan melibatkan kerja-kerja menaik taraf Jalan Kebun Kelompok Skim Sekuau serta Jalan Rumah Janting, yang memberi impak langsung terhadap kelancaran pergerakan harian dan aktiviti ekonomi penduduk luar bandar.
"Penyiapan jalan kebun, khususnya laluan ladang kelapa sawit, dilihat sebagai pemangkin penting kepada peningkatan hasil pertanian apabila akses jentera dan pengangkutan hasil dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan teratur.
"Keadaan ini secara tidak langsung membantu meningkatkan produktiviti serta pendapatan peserta penanam kelapa sawit di kawasan tersebut," katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya pada Rabu.
Selain manfaat ekonomi, Gira berkata, projek RTP ini turut meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan, terutamanya bagi penduduk rumah panjang yang bergantung kepada laluan ini untuk urusan harian, pendidikan dan perhubungan antara komuniti.
Menurutnya, usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan projek berimpak tinggi seperti ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan infrastruktur luar bandar terus diperkasakan mengikut keperluan sebenar rakyat.
"Pelaksanaan projek RTP di Skim Sekuau adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memperkukuh ekonomi luar bandar serta meningkatkan kesejahteraan penduduk," jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur seperti jalan kebun bukan sekadar kemudahan fizikal, tetapi merupakan pelaburan penting bagi menjamin kelangsungan ekonomi dan kualiti hidup masyarakat setempat.
Majlis penyerahan projek siap tersebut turut disaksikan oleh wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu, Pegawai Pusat Khidmat DUN Tamin Kaunselor Ajan Dau, wakil rumah panjang serta kontraktor yang terlibat dalam pelaksanaan projek.