
LAWAS: Buah durian tempatan keluaran Lawas dan Limbang boleh dikomersialkan menggunakan kaedah moden dalam industri makanan seperti yang dilaksanakan di Semenanjung.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, durian tempatan dari kawasan itu memiliki tekstur yang enak serta berupaya menjana nilai komersial yang tinggi sekiranya diurus dan dipasarkan secara lebih moden.
Bagi mencpaai tujuan itu kata beliau, pengusaha kebun durian tempatan di Trusan perlu beralih kepada penggunaan teknologi moden dalam memasarkan produk mereka bagi menembusi pasaran lebih luas.
“Saya melihat potensi besar yang dimiliki Pekan Trusan dalam pengeluaran buah durian.
“Jadi kalau orang Semenanjung dapat buat banyak (produk) dan dijadikan sebagai bahan-bahan untuk buat aiskrim serta dapat dieksport melalui pembungkusan yang betul, kita pun boleh seperti mereka.
“Ini akan dapat membantu meningkatkan pendapatan kita melalui pelbagai kemudahan seperti perniagaan dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Jom Singgah Makan Durian 'Ucu Kuman Bua’ Lapun' Trusan 2026 yang berlangsung di Gelanggang Dewan Masyarakat Trusan di sini, pada Jumaat.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong bersama isteri Datin Tunong Palung dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok.
Awang Tengah berkata, usaha pengkomersialan durian tempatan harus dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama pihak yang berkemahiran dalam mempelbagaikan produk berasaskan durian di Trusan dan Lawas.
Ketika ini katanya, pasaran durian Lawas lebih tertumpu kepada jualan buah segar ke negara jiran Brunei dan Sabah.
“Justeru, pendekatan baharu yang lebih moden dan menyeluruh diperlukan, bermula daripada kaedah penanaman, pemasaran sehingga kepada pembangunan produk hiliran berasaskan durian, bagi membantu meningkatkan pendapatan pengusaha kebun kecil di kawasan luar bandar,” katanya lagi.