Projek Pembangunan Tanaman Sayuran & Buah Sistem Drip–Medium Tanah Tingkat Pendapatan Komuniti Setempat

Disiarkan pada 07 Jan 2026
Sumber Berita: UKAS
Edisi Ukas Image

SADONG JAYA: Satu lawatan pemantauan telah diadakan bagi menilai perkembangan projek pertanian di bawah seliaan Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) melibatkan Projek Pembangunan Tanaman Sayuran dan Buah Sistem Drip–Medium Tanah di kawasan Iboi/Pelandok, Sadong Jaya.

Lawatan tersebut telah diketuai oleh Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee dengan tujuan memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut perancangan serta memberi manfaat optimum kepada para peserta dan komuniti setempat.

Menurut Rodiyah, projek seperti ini mampu menambah sumber pendapatan selain dapat meningkatkan kemahiran peserta dalam bidang penanaman hasil pertanian.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pembangunan Pertanian IRSDA juga berharap lebih ramai penglibatan peserta dalam bidang ini pada masa akan datang.

"Pendekatan ini selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan sektor pertanian berasaskan komuniti, menggalakkan penglibatan belia dalam bidang pertanian moden serta meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan penduduk luar bandar di kawasan Sadong Jaya," katanya pada Selasa.

Turut hadir dalam lawatan berkenaan ialah Pegawai Pertanian Bahagian Samarahan, Hamzah Abu Bakar dan Pegawai Perancang Bandar dan Desa dari Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, Abang Ahmad Azlan Abang Ariffin.

Projek yang dikenali sebagai Agro Farm Komuniti Sadong Jaya ini dilaksanakan di atas tanah milik Lembaga Amanah Masjid Sadong Jaya dengan keluasan keseluruhan 12 ekar.

Projek ini telah mula dilaksanakan secara berperingkat sejak Jun 2025 dan melibatkan seramai 14 orang peserta yang terdiri daripada belia tempatan termasuk wanita.

Pelaksanaan projek ini menggunakan dua kaedah penanaman, iaitu sistem fertigasi dan sistem penanaman terbuka.

Antara jenis tanaman yang sedang diusahakan termasuk cili sayur, cili tunjuk, tembikai, mentimun, kacang panjang dan betik, selain perancangan penanaman pokok buah-buahan pada fasa seterusnya.

Dalam jangka panjang, projek ini dirancang sebagai projek perintis di bawah pengurusan Koperasi Komuniti Sadong Jaya Berhad (Agro Farm).

Penubuhan Agro Farm ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, malah berperanan sebagai pusat pengumpulan hasil tani bagi komuniti setempat.-EDISI UKAS