RMK-13: Kawasan penanaman lada diperluas

Posted on 19 Dec 2025
Source of News: TVS

Datuk Razali Mohammad melawat reruai pada Persidangan dan Ekspo Lada Malaysia 2025. Foto TVS
 

KUCHING, 19 Dis: Pembangunan industri lada di Malaysia akan terus dipertingkatkan di Malaysia menerusi program kemampanan penanaman di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dengan fokus kepada peluasan kawasan penanaman.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kerajaan menyasarkan peluasan 1,500 hektar tanaman lada premium dan 2,000 hektar tanaman lada matang sebagai kesinambungan pembangunan di bawah RMK12.

“Daripada keseluruhan peruntukan RM99.1 juta bagi pembangunan industri lada, sebanyak 95 peratus disalurkan ke Sarawak sebagai pengiktirafan terhadap status negeri sebagai pengeluar utama lada negara dan penentu hala tuju industri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibaca oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Razali Mohammad pada Majlis Perasmian Persidangan dan Ekspo Lada Malaysia 2025, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan meneliti integrasi tanaman lada dengan tanaman lain bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil dalam komuniti tempatan.

Sebelum ini, melalui RMK12, kerajaan membangunkan 721 hektar kawasan baru melibatkan lebih 5,000 pekebun kecil di samping bantuan penyelenggaraan bagi kawasan tanaman matang.

Noraini berkata, kementeriannya melalui Lembaga Lada Malaysia (MPB) turut membangunkan 32 projek jalan ladang melibatkan kos sebanyak RM10.3 juta dengan jarak lebih 50 kilometer bagi memudahkan pengangkutan hasil, mengurangkan kos operasi serta mempercepatkan rangkaian bekalan.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan semua pekebun dan penggiat industri memanfaatkan sepenuhnya program pembangunan tersebut termasuk penerapan teknologi moden dan pensijilan seperti MyGAP serta MyOrganik bagi memastikan lada Malaysia kekal berdaya saing di pasaran premium global.

Beliau turut memuji usaha MPB melalui program pembangunan dan pengkomersialan produk hiliran yang disifatkan bertepatan dengan keperluan semasa industri.

“Kajian baru-baru ini menunjukkan lada berpotensi dijadikan bahan aktif dalam produk anti penuaan dan anti diabetes. Saya sendiri tertarik dengan potensi farmaseutikal yang boleh dterokai daripada komoditi ini,” ujarnya.

Beliau berharap MAPEC 2025 dapat menjadi platform signifikan dalam usaha mengetengahkan industri lada Malaysia kepada masyarakat di dalam dan luar negara.-TVS