Sektor Pertanian Sumbang RM15.1 Bilion KDNK Sarawak

Disiarkan pada 02 Dec 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sektor pertanian terus menjadi pemacu penting ekonomi Sarawak apabila menyumbang sebanyak RM15.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri pada 2024, di samping mewujudkan 247,400 peluang pekerjaan kepada rakyat.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, berkata pencapaian itu merupakan petanda positif terhadap daya tahan serta potensi pertumbuhan sektor berkenaan.

Menurut beliau, antara aspek paling ketara ialah peningkatan pendapatan eksport, khususnya komoditi minyak sawit yang menjadi eksport kedua terbesar Sarawak pada tahun berkenaan.

“Nilai eksport minyak sawit meningkat daripada RM15.0 bilion pada 2021 kepada RM16.3 bilion pada 2024, iaitu lonjakan 8.6 peratus di mana setakat Oktober 2025, jumlah eksport minyak sawit telah mencapai 3.1 juta metrik tan dengan nilai RM13.8 bilion,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Selasa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keperluan untuk Sarawak terus memperkukuh tahap sara diri makanan dengan melancarkan usaha lebih agresif perlu dilakukan untuk meningkatkan pengeluaran makanan.

“Kita perlu meningkatkan pengeluaran makanan khususnya beras, daging lembu, buah-buahan dan sayur-sayuran, perikanan serta makanan ternakan bagi menjamin keselamatan makanan kita.

“Oleh itu, kementerian saya akan mempergiat usaha untuk meningkatkan daya saing serta kelestarian jangka panjang sektor ini melalui pelaksanaan langkah strategik yang lebih berfokus dan berimpak tinggi,” katanya lagi.

Salah satunya, Dato Sri Dr Stephen Rundi menegaskan usaha kementeriannya dengan memperkasakan golongan petani dengan ilmu, teknologi moden dan kemahiran pertanian komersial yang diperlukan untuk memacu agenda transformasi agro Sarawak. -EDISI UKAS