RM2.2 Bilion Diperuntuk Laksana 703 Projek Pertanian

Disiarkan pada 02 Dec 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Dana sebanyak RM2.2 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan 703 projek pertanian sehingga kini di seluruh Sarawak.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, projek-projek ini merangkumi jalan luar bandar dan ladang, bund pantai, perlindungan tebing sungai, saliran pertanian, serta projek infrastruktur berkaitan di seluruh Sarawak.

“Setakat Oktober 2025, 417 projek telah selesai dilaksanakan, manakala projek-projek yang selebihnya sedang dijalankan pada pelbagai peringkat pelaksanaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan penggulungan kementeriannya dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu katanya, Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM14.0 juta untuk pemulihan dua skim pertanian Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) iaitu Mid Sadong III Lubok Trangas di Gedong dan Paya Mending di Serian yang dijadualkan bermula pada suku pertama 2026.

Menyentuh pelaksanaan jalan ladang di Sarawak, beliau menjelaskan kementeriannya telah memperuntukkan RM111 juta untuk melaksanakan lebih 400 projek jalan ladang di seluruh Sarawak, merangkumi jarak lebih daripada 1,800 kilometer.

Projek-projek pembangunan jalan ladang ini katanya akan diteruskan pada tahun hadapan. -EDISI UKAS