Sarawak Perhebat Agenda Keselamatan Makanan
Posted on 02 Dec 2025
Source of News: UKAS
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperhebat agenda keselamatan makanan dan transformasi sektor pertanian melalui pendekatan moden dan strategi baharu.
Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, keutamaan kini memfokuskan kepada komuniti peladang serta penyertaan golongan muda sebagai pemacu utama kelestarian pengeluaran makanan negeri dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Usaha ini katanya, merangkumi pembangunan kawasan pertanian khusus, penggunaan teknologi moden termasuk IoT, mekanisasi dalam penanaman padi, serta reformasi industri bagi menjadikan bidang pertanian lebih kondusif, selesa dan menarik untuk generasi baharu.
“Kita mahu golongan muda melihat bahawa pertanian bukan kerja kotor atau sukar, tetapi industri yang mampu menjana pendapatan lumayan, selari dengan amalan moden dan ekosistem yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Selasa.
Tambahnya, kerajaan juga optimis dalam usaha memajukan Sarawak sebagai jelapang padi negara dengan sasaran pengeluaran 450,000 tan metrik setahun.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan telah memperkenalkan model penanaman padi Design, Build, Operate and Transfer (DBOT) serta menubuhkan Lembaga Padi Sarawak bagi menyelaras industri tersebut secara lebih menyeluruh.
“Menjelang 2030, kerajaan yakin komuniti peladang Sarawak mampu mencapai pendapatan isi rumah mencecah RM15,000 sebulan selari dengan aspirasi wilayah berpendapatan tinggi, dengan penyediaan infrastruktur dan kemudahan sokongan yang akan terus dipertingkat bagi memastikan kemajuan komuniti pertanian terus berkembang.
“Transformasi menyeluruh ini dijangka menjadikan sektor pertanian Sarawak lebih mampan, berdaya maju dan berdaya saing, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri sebagai peneraju keselamatan makanan negara,” katanya lagi.-EDISI UKAS
Wartawan: Mia Amira
Jurugambar: Jaed Tepus