Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi & Isteri Serikan Karnival Medan Niaga Satok 2025
Disiarkan pada 30 Nov 2025
Sumber Berita: UKAS

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menyerikan Karnival Medan Niaga Satok 2025 pada Ahad.
Dalam acara utama karnival tersebut, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah memperkenalkan tiga sajian istimewa air tangan beliau menerusi sesi demonstrasi masakan dengan menampilkan hidangan sardin, sup ayam dan midin goreng.
Beliau turut berkongsi bahan-bahan serta teknik penyediaan bagi membolehkan pengunjung mencuba sendiri masakan tradisi Sarawak di rumah.
Selepas demonstrasi, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah bersama Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi meluangkan masa meninjau beberapa gerai dan pameran, selain beramah mesra dengan para pengusaha tempatan sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan industri agromakanan negeri.
Turut memeriahkan majlis ialah Bendahari Agung Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri Menteri (SABATI) Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin, Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri serta isteri, Pengerusi Puspanita dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Salina Nawi, Pengarah FAMA Negeri Sarawak Norsalawaty Abdul Kadir serta tetamu yang lain.
Untuk rekod, Karnival Medan Niaga Satok berlangsung dari 28 hingga 30 November 2025.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Shahril Haqim