Generasi Muda Digalakkan Ceburi Bidang Pertanian
Disiarkan pada 29 Nov 2025
Sumber Berita: UKAS
KUCHING: Generasi muda digalakkan untuk menceburi bidang pertanian lebih-lebih lagi dalam pertanian moden yang mampu memberi pulangan yang lumayan kepada mereka.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata generasi muda perlu dilatih dalam pendidikan teknologi moden di sektor pertanian supaya mereka boleh menjadi usahawan agro dan memimpin industri ini pada masa hadapan.
“Pertanian moden bukan lagi pekerjaan yang bergaji kecil, ia telah menjadi kerjaya yang menggunakan teknologi moden dan berdaya saing,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail sempena Majlis Perasmian Karnival Medan Niaga Satok, di sini, pada Sabtu.
Tambah beliau lagi, sektor pertanian di Sarawak akan menjadi pemacu ekonomi baharu sekiranya petani hari ini memanfaatkan sepenuhnya teknologi terkini dalam aktiviti pertanian mereka.
Justeru katanya, Kerajaan Sarawak menetapkan bahawa pertanian di wilayah ini mesti berubah ke arah lebih moden melalui penggunaan teknologi terkini, penggunaan mesin, proses kerja automatik dan penggunaan teknologi digital.
Di pihak kerajaan, Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan bahawa infrastruktur seperti jalan ladang, pusat pengumpulan hasil dan sistem logistik sedang dan akan terus dipertingkatkan agar petani mudah untuk mengakses pasaran.
Menyentuh mengenai kebolehpasaran hasil pertanian Sarawak, beliau menyeru agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) selaku agensi pemasaran persekutuan untuk membantu Sarawak memperluas akses pasaran, memantapkan sistem pengedaran dan memasarkan produk tempatan ke peringkat lebih luas.
"Saya percaya bahawa dengan kerjasama antara kerajaan, agensi seperti FAMA, petani, peniaga, usahawan dan golongan muda, kita mampu membangunkan ekosistem pertanian moden yang dinamik dan mampan,” ujar beliau lagi.
Hadir sama, Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datu Sirai Daha serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS