Stesen Pertanian Simunjan Dibina Semula Demi Perkhidmatan Lebih Berkesan kepada Komuniti Tani
Disiarkan pada 28 Nov 2025
Sumber Berita: UKAS
KUCHING: Usaha membina semula Stesen Pertanian Simunjan dilakukan bagi memastikan perkhidmatan Jabatan Pertanian Sarawak dapat disampaikan dengan lebih cekap, teratur dan berkesan kepada komuniti tani di daerah ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pembinaan semula stesen tersebut mengambil kira keperluan operasi semasa bagi memastikan peranan jabatan dalam menyokong perkembangan sektor pertanian terus diperkukuh.
“Perkhidmatan yang diberikan oleh Jabatan Pertanian Sarawak, termasuk di Stesen Pertanian Simunjan tersebut akan memberi fokus kepada khidmat nasihat teknikal melibatkan aktiviti tanaman, perikanan darat dan industri asas tani.
“Selain itu, khidmat nasihat teknikal yang lain turut diberikan termasuk pengurusan penyakit tanaman, pembangunan kelompok petani, latihan teknologi moden, sokongan input, dan pemantauan projek-projek agromakanan di kawasan tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa pembinaan stesen pertanian itu nanti akan merangkumi bangunan pejabat utama, fasiliti teknikal seperti stor peralatan dan bilik utiliti, kemudahan awam, infrastruktur sokongan, prasarana keselamatan seperti pagar dan pondok pengawal, serta kuarters kakitangan bergantung kepada keperluan.
Pembinaan semula Stesen Pertanian Simunjan dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pertanian setempat, sekaligus meningkatkan produktiviti dan pendapatan para petani di kawasan tersebut. -EDISI UKAS