KUCHING, 26 Nov – Seramai 38 orang pelajar dan empat orang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wira Penrissen telah mengadakan lawatan yang penuh bermakna ke Pusat Penyelidikan Pertanian (ARC) Semenggok baru-baru ini bagi mendalami teknologi pertanian moden.
Rombongan yang dianggotai oleh pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 itu telah disambut mesra oleh kakitangan ARC Semenggok. Sepanjang lawatan, pelajar berpeluang untuk melihat secara lebih dekat fasiliti serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang terdapat di pusat tersebut.
Antara kemuncak lawatan ialah sesi penerokaan ke Makmal Kultur Tisu dan Kilang Tumbuhan (Plant Factory). Di makmal kultur tisu, para pelajar kagum menyaksikan kaedah penghasilan anak benih yang bebas penyakit dan berkualiti tinggi dalam persekitaran yang terkawal. Seterusnya, di dalam Plant Factory, mereka didedahkan dengan konsep pertanian masa depan di mana sayur-sayuran berdaun hijau tumbuh subur secara bertingkat-tingkat tanpa tanah. Penerangan ringkas diberikan bagaimana cahaya, suhu dan nutrien dikawal sepenuhnya bagi memastikan tanaman tumbuh dengan optimum sepanjang tahun.
Tidak ketinggalan, para pelajar juga turut didedahkan kepada beberapa teknologi pertanian pintar yang semakin penting dalam revolusi pertanian moden. Pelajar dilihat begitu teruja dengan demonstrasi penggunaan dron, mesin pemotong rumput kawalan jauh serta sistem penanaman hidroponik.
Selain teknologi, demonstrasi mengenai cara-cara membuat kompos dan teknik cantuman (grafting) pokok buah-buahan turut diadakan bagi memberikan pendedahan yang seimbang kepada para pelajar.
Menurut guru pengiring lawatan, Cikgu Virginy anak John Burung, lawatan seumpama ini amat berharga untuk para pelajar.
"Lawatan ini bukan sekadar aktiviti luar bilik darjah biasa. Ia secara langsung membuka mata dan minda pelajar tentang betapa majunya teknologi pertanian pada masa kini. Saya yakin pengalaman ini akan menanam minat dalam diri mereka untuk menceburi kerjaya dalam bidang sains dan teknologi pertanian pada masa hadapan," katanya.
Melalui lawatan ini, diharap para pelajar bukan sahaja mendapat ilmu baharu malah dapat memupuk minat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) serta melihat peluang kerjaya masa hadapan dalam sektor pertanian.
RO Anny Jong memberi penerangan mengenai anak benih tisu kultur kepada para pelajar
Pelajar melihat dengan lebih dekat sayur-sayuran yang ditanam secara vertical
KPP (Bahagian Penyelidikan & Pembangunan Tanaman), Dr. Maclin Dayod, beramah mesra bersama guru-guru pengiring dan pelajar-pelajar SMK Wira Penrissen
AAO Liew Shan Kueh menunjukkan teknik-teknik cantuman anak pokok durian kepada guru dan pelajar
Seorang pelajar SMK Wira Penrissen mengendalikan mesin pemotong rumput kawalan jauh
Pelajar-pelajar teruja melihat dron yang dipamerkan semasa lawatan