DUN Sarawak: Opar bakal jadi hab agro moden

Posted on 27 Nov 2025
Source of News: TVS

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang. Foto UKAS

KUCHING, 27 Nov: Peruntukan RM20 juta bagi pembangunan Kluster Makanan Metropolitan (MFC) di Opar dijangka meletakkan kawasan tersebut sebagai hab agro moden yang berupaya memperkasa ekonomi luar bandar dan meningkatkan taraf hidup penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, pembangunan yang bermula di Kampung Stungkor pada September lalu membuktikan komitmen kerajaan terhadap pemodenan sektor agro di kawasan luar bandar.

“Inisiatif ini akan menjadikan Opar sebagai pusat pemprosesan agro dan pengeluaran moden bernilai tinggi, membawa teknologi baharu, memupuk aktiviti ekonomi serta membuka peluang pekerjaan bermakna kepada masyarakat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 pada Persidangan DUN Sarawak ke-19 hari ini.

Menurut Billy, peruntukan tersebut melengkapkan usaha Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD), termasuk RM73 juta untuk pertanian moden dan berketepatan, RM21.4 juta bagi pembangunan Agropark dan Aquaculture Park serta RM20.4 juta bagi infrastruktur pengairan dan saliran padi.

Beliau berharap sebahagian dana untuk projek penanaman padi turut disalurkan ke Opar memandangkan tujuh sawah padi dikenal pasti dan diluluskan untuk penambahbaikan di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).

“Sawah padi di Kampung Jangkar adalah yang terbesar meliputi lebih 900 hektar. Saya berharap Kementerian dan Sarawak Land Development Board (SLDB) menyediakan peruntukan mencukupi untuk mengusahakan sawah ini agar keperluan beras Sarawak dapat ditampung,” ujarnya.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) sedang menjalankan kajian dan reka bentuk bagi sawah padi di Kampung Jangkar, manakala enam lagi sawah yang terlibat ialah Kampung Jugan, Kampung Tebaro, Kampung Sedaing, Kampung Rukam, Kampung Sebako dan Kampung Biawak.

Billy turut menggesa supaya agensi pelaksana mempercepatkan reka bentuk dan proses tender bagi kesemua projek yang menerima dana GKCDA namun masih belum dimulakan.-TVS