DUN Sarawak: Bintulu dicadang jadi lokasi tetap Agrofest Perdana

Posted on 28 Nov 2025
Source of News: TVS

KUCHING, 26 Nov: Kejayaan Agrofest Bintulu 2025 yang merekodkan jualan melebihi RM5.4 juta serta menarik lebih 800,000 pengunjung sepanjang lapan hari penganjurannya dari 22 hingga 30 Ogos lalu mendorong cadangan agar bandar itu dijadikan lokasi tetap bagi penganjuran Agrofest Perdana setiap tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, pencapaian tersebut membuktikan keupayaan Bintulu sebagai hab utama industri agro negeri, selain faktor lokasi strategik yang menyokong pembangunan sektor pertanian dan perladangan.

“Oleh demikian itu, disini pihak saya mensyorkan agar Bintulu dijadikan lokasi kekal untuk penganjuran Agrofest Perdana setiap tahun berdasarkan pencapaian di atas.

“Ini kerana kedudukan Bintulu amat strategik dan pemain industri pertanian dan perladangan untuk kawasan sekitar dan berhampiran Bintulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Belanjawan Bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Jelas beliau, bertemakan “Sektor Industri Agro Melalui Teknologi Pintar”, penganjuran kali ini memberi fokus kepada teknologi moden pertanian, peluang pelaburan makanan serta peluasan pasaran produk agro Sarawak.

Dalam perkembangan lain, Iskandar turut menekankan keperluan kerajaan merangka pelan mitigasi banjir komprehensif susulan kejadian banjir besar pada 29 Januari lepas yang mengakibatkan trauma serta kerugian harta benda kepada penduduk Bintulu.

Menurutnya, tindakan jangka pendek dan jangka panjang perlu dilaksanakan segera, khususnya melibatkan Sungai Sebiew dan Kuala Batang Kemena yang menjadi laluan aliran utama kawasan terjejas.

“Tindakan jangka pendek yang perlu dilaksanakan termasuk menaik taraf sistem perparitan usang kepada perparitan monsun di kawasan kampung dan perumahan berdasarkan peningkatan jumlah penempatan baharu.

“Selain itu, penyelengaraan sistem perparitan yang lebih berkesan perlu dilakukan setiap tahun bagi menjamin kelancaran aliran air, manakala pemasangan Penanda Aras Air Banjir atau flood gauge di laluan yang kerap dinaiki air disaran bagi memudahkan pemantauan risiko banjir,” tambahnya.

Beliau juga mencadangkan pemasangan sistem amaran awal melalui siren banjir automatik serta pemasangan pam monsun bagi mengelakkan kejadian banjir besar berulang.

Menurutnya, pemasangan pam monsun juga merupakan langkah penting untuk mengelakkan kejadian banjir besar berulang kerana ia berfungsi menyedut air melimpah dan mengalirkannya ke saliran bersesuaian.

“Bagi jangka panjang, penambahbaikan termasuk pelebaran, pendalaman dan penyelenggaraan berkala Sungai Sebiew dan Kuala Batang Kemena perlu dilaksanakan di bawah RMK13.

“Setrerusnya, pembinaan kolam takungan banjir diwajibkan di kampung atau taman perumahan sebagai mekanisme mengawal limpahan air hujan luar biasa selain berpotensi dijadikan kawasan rekreasi penduduk,” ujarnya.

Beliau turut mengemukakan cadangan penempatan semula penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Sebiew ke Penempatan Baru di Jepak sebagai langkah keselamatan jangka panjang.

Jelasnya, penduduk berharap segala cadangan itu dapat dilaksanakan segera kerana banjir besar pada awal tahun lalu meninggalkan kesan mendalam serta kerugian besar kepada keluarga yang terjejas di Bintulu.- TVS