Belanjawan Sarawak 2026: Perkukuh Sektor Pertanian & Jaminan Makanan
Posted on 26 Nov 2025
Source of News: UKAS
KUCHING: Belanjawan Sarawak 2026 dijangka memberi dorongan signifikan kepada sektor pertanian negeri, sekali gus memastikan agenda pengukuhan bekalan makanan bergerak di landasan yang tepat menuju masa depan yang lebih stabil dan mampan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh berkata, tumpuan terhadap industri pertanian adalah tepat pada masanya memandangkan Sarawak masih terlalu bergantung kepada makanan yang diimport dari luar bagi menampung keperluan rakyat.
“Jadi sudah tiba masanya, kita memperkasakan industri pertanian dengan bajet yang agak besar supaya kita dapat mengeluarkan produk-produk makanan kita sendiri untuk kita beri kepada rakyat tanpa terlalu bergantung kepada makanan-makanan yang kita import daripada luar,” ujarnya ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini pada Rabu.
Beliau turut menekankan bahawa banyak tanah adat Bumiputera (NCR) di kawasan luar bandar, termasuk di Serembu mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai kawasan pertanian komersial.
“Infrastruktur asas sudah 100 peratus siap. Sekarang tumpuan saya ialah pembangunan ekonomi rakyat. Tanah NCR yang masih kosong perlu dimanfaatkan untuk industri pertanian dan industri berkaitan,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau menyeru masyarakat terus berusaha memanfaatkan peluang yang wujud dalam sektor pertanian serta bidang lain yang sedang berkembang pesat.—EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Mohd Amirul