Kerjasama Sarawak–Norway Lonjak Industri Tilapia Ke Peringkat Serantau

Posted on 05 Nov 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Sarawak melakar satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh sekuriti makanan dan industri akuakultur apabila Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Pertanian Sarawak telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat Norway, Blue Future Holding, bagi memperkasa pengeluaran ikan tilapia tempatan.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, MoU ini menandakan permulaan kepada kerjasama strategik dalam penyelidikan dan pembangunan genetik tilapia berkualiti tinggi, sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi peneraju pengeluaran makanan berprotein tinggi di rantau ini.

Katanya, MoU tersebut akan memberi manfaat besar kepada rantaian bekalan tempatan, termasuk penyediaan benih ikan berkualiti, peningkatan produktiviti sangkar serta peluang pekerjaan baharu di kawasan luar bandar.

“Kerjasama ini bukan sahaja menjamin bekalan makanan berterusan, tetapi juga membuka peluang kepada masyarakat luar bandar untuk memperoleh kemahiran baharu dan menambah pendapatan,” ujarnya semasa berucap dalam majlis Menandatangani MoU antara Blue Future Holding dengan Kerajaan Sarawak berkenaan pembangunan pusat sumber genetik ikan tilapia hitam, di sini, pada Rabu.

Dato Sri Dr Stephen Rundi turut menjelaskan, pada tahun 2024, sektor akuakultur Sarawak telah menyumbang 14,130 tan metrik kepada pengeluaran negara, namun kekurangan benih ikan masih menjadi cabaran, terutama di kawasan Batang Ai yang berdepan kekurangan lebih 8.2 juta anak ikan bagi 14,587 sangkar operasi.

Melalui kerjasama ini, Blue Future Holding, bersama anak syarikatnya Genomar Genetics Asia, akan membekalkan teknologi dan kepakaran genetik untuk mempercepatkan tempoh matang tilapia, satu langkah penting bagi meningkatkan hasil dan memastikan bekalan ikan segar yang stabil.

“Matlamat kita bukan sekadar memenuhi permintaan dalam negeri, tetapi untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan produk akuakultur yang berkualiti tinggi,” katanya.

Hadir sama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Martin Ben, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak Tan Sri William Mawan Ikom, Pengerusi Lembaga Pengarah Blue Future Holding Odd Magne Rodseth serta Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Dominic Chunggat. -EDISI UKAS