
Dato Sri Dr Stephen Rundi mencuba kaedah menoreh getah menggunakan teknik ‘punching’ semasa lawatan ke Pusat Pengumpulan dan Pentadbiran Projek Getah Sekuau, Selangau hari ini. Foto TVS
SELANGAU, 21 Okt: Industri getah di Sarawak kini melangkah ke fasa baharu dengan pengenalan teknik menoreh moden menggunakan kaedah “punching”, yang mampu menghidupkan semula kebun getah lama serta meningkatkan hasil pekebun kecil luar bandar.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kaedah berkenaan bukan sahaja boleh dilakukan walaupun ketika hujan, malah membolehkan penorehan dilakukan dua kali seminggu berbanding kaedah tradisional.
“Dari segi penyelidikan, kaedah ini terbukti dapat menghasilkan pengeluaran yang lebih banyak. Ini adalah satu usaha baharu untuk membantu pengusaha getah di Sarawak menggunakan cara yang lebih berkesan dalam menoreh getah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Projek Transformasi Industri Getah Sarawak: Pengukuhan Projek Getah Komuniti Nanga Sekuau, Selangau-Sibu, hari ini.
Tambahnya, teknologi moden ini berpotensi menarik semula minat pekebun terhadap tanaman getah yang kini banyak beralih kepada tanaman lain seperti kelapa sawit, kerana hasilnya setimpal tetapi dengan kerja yang lebih mudah.
Katanya, di kawasan Sekuau, Selangau, banyak kebun getah yang sebelum ini ditanam oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah dibiarkan menjadi semak samun lebih 13 tahun tanpa hasil.
“Namun, dengan kaedah ini, kawasan berkenaan boleh dihidupkan semula bagi menjana pendapatan kepada pekebun kecil luar bandar di sini,” ujarnya.
Menurutnya, Sarawak memiliki lebih 161,000 hektar kawasan tanaman getah, tidak termasuk ladang yang masih aktif, dan jika dimanfaatkan sepenuhnya, ia mampu menjadi sektor industri yang memberi impak besar kepada ekonomi negeri.
Rundi turut merakamkan penghargaan kepada syarikat pelabur tempatan Kian Maju Jaya (KMJ) yang memperkenalkan teknologi punching ini bagi membantu pekebun kecil meningkatkan hasil mereka.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri telah menubuhkan Lembaga Industri Getah Sarawak (SARIB) bagi memperkasa semula sektor getah supaya menjadi sumber pendapatan yang mapan kepada penduduk luar bandar, termasuk golongan B40.
Menyentuh cabaran global, beliau berkata industri komoditi turut berdepan kekangan di bawah Peraturan Anti Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang mengehadkan tanaman seperti kelapa sawit, namun, tegasnya tanah NCR wajar dimanfaatkan untuk tanaman getah kerana ia memberi manfaat terus kepada rakyat luar bandar.
Menurut Rundi, usaha memperkukuh industri getah selari dengan matlamat Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan Perancangan Pembangunan Negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang menjadikan sektor pertanian sebagai salah satu tonggak utama pembangunan Sarawak.
“Sektor pertanian kini menyumbang sekurang-kurangnya 14 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan kerajaan negeri berhasrat meningkatkan sumbangan itu menerusi pendekatan baharu yang menekankan penggunaan teknologi moden, latihan berterusan dan perubahan minda rakyat luar bandar,” katanya
Beliau menegaskan, sudah tiba masanya rakyat mengubah cara bekerja dengan mengadaptasi teknologi baharu serta memperkukuh latihan di semua peringkat.
“Ia perlu dilakukan dengan pendekatan yang lebih berdaya saing dan menguntungkan kerana matlamat sebenar bukan sekadar untuk mencari pendapatan tetapi untuk mencipta kejayaan menjadikan sektor pertanian sebagai jalan terbaik ke arah itu.,” ujar beliau.-TVS