Agricop Perkukuh Ilmu Pertanian Komuniti Luar Bandar di DUN Tamin

Posted on 12 Oct 2025
Source of News: UKAS


SELANGAU: Jabatan Pertanian Daerah Selangau dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bahagian Sibu menganjurkan Agriculture Community Outreach Programme (Agricop) bagi kawasan DUN N.59 Tamin di Rumah Gamang anak Buang, Sungai Kemena, Balingian baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Charlie Lunyong yang mewakili Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta.

Dalam ucapannya, beliau menyampaikan salam dan permohonan maaf daripada Ahli Parlimen Selangau yang tidak dapat hadir kerana menghadiri Sidang Parlimen.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada para peserta yang berjaya menamatkan kursus selama dua hari serta menimba ilmu berkaitan pertanian.

“Program seperti ini amat penting dalam memperkasa komuniti luar bandar untuk terus memajukan sektor pertanian melalui ilmu dan teknologi baharu,” ujarnya.

Sementara itu, SAO Louis Micheal Balau yang mewakili Pegawai Daerah Selangau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat serta berharap program seumpama ini dapat diteruskan di kawasan lain bagi memberi lebih banyak manfaat kepada penduduk luar bandar.

Pelbagai pengisian menarik diadakan sepanjang dua hari program termasuk ceramah pertanian, demonstrasi masakan serta kaunter perkhidmatan daripada agensi seperti Sarawak Skills Kuching, Universiti Kolej i-CATS, Jabatan Kebajikan Bahagian Sibu, PERKESO Bahagian Sibu dan pembekal racun pertanian.

Selain itu, sebanyak 300 anak pokok nangka varieti J33 (Tekam Yellow) turut diagihkan kepada peserta kursus yang hadir.

Turut hadir wakil Pegawai Pertanian Bahagian Sibu Jee Wie Ren, Penolong Pegawai Pertanian Menguasa Pejabat Pertanian Daerah Selangau James Alow Bunya, Bahagian Pengembangan, Jabatan Pertanian Sibu Eloni Mahsin, Pemanca Mathew Belawan Daut, Penghulu Dom Brok, Penghulu Thomas Jawa, serta ketua-ketua masyarakat setempat.-EDISI UKAS