Bengkel Pemantapan Projek dan Penyediaan Laporan Projek Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Jabatan Pertanian Sarawak 2025
Posted on 16 Oct 2025
Source of News: Shirlyn Anak David
KUCHING: Jabatan Pertanian Sarawak terus melangkah ke hadapan dalam memberi sokongan penuh budaya inovatif dan kreatif dalam kalangan warga kerja Jabatan dengan kejayaan penganjuran Bengkel Pemantapan Projek dan Penyediaan Laporan Projek Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Jabatan Pertanian Sarawak 2025 pada 6 hingga 7 Oktober 2025 di Imperial Hotel, Kuching.
Bengkel ini memberi fokus untuk mendedahkan para peserta dalam memperkukuhkan penyediaan projek dan laporan kumpulan KIK sebagai persediaan untuk menyertai Mini Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) 2026 yang dijangka akan diadakan pada April 2026. Bengkel ini turut membimbing peserta terhadap penggunaan alat Kawalan Kualiti (Qualiti Control tools) secara efektif dah berimpak dalam penyediaan dokumentasi projek, selaras dengan pemarkahan penilaian terkini yang diketengahkan oleh Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU).
Bengkel ini telah disampaikan oleh fasilitator yang berpengetahuan dan mempunyai pengalaman dalam penyertaan Konvenyen KIK di pelbagai peringkat iaitu Ts. Puan Pearlycia Brooke, Ts. Hajah Siti Adibah Binti Zulkepli dan Ts. Encik Mohd Syazwan Bin Lokman Hakim. Untuk pengetahuan, barisan fasilitator ini merupakan ahli kumpulan KIK Jabatan, The Search, yang pernah mewakili Jabatan menyertai Konvensyen KIK di pelbagai peringkat termasuklah Mini Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (MANRED) 2022, Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2022 dan 48th International Convention on Quality Circles (ICQCC) 2023 di Beijing, China.
Seramai sebelas orang peserta telah menghadiri bengkel ini yang terdiri daripada ahli kumpulan KIK Jabatan, Swift Revival dan Terra Nova. Para peserta menerima baik penganjuran bengkel ini dan menyifatkannya sebagai satu platform yang penting untuk memantapkan mutu serta kandungan laporan projek dan inovasi kumpulan masing-masing.







