Tentang Jabatan

 

Tentang Jabatan


Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) telah ditubuhkan pada tahun 1924 dan fokus utama DOA pada awalnya adalah tanaman getah dan lada. Namun begitu, pada awal tahun 1950an, DOA kemudiannya memberi fokus kepada bahagian pengembangan, latihan dan pendedahan kepada teknologi terkini kepada golongan sasar iaitu petani dan usahawan dalam usaha untuk membantu meningkatkan pengeluaran hasil tanaman dan juga pendapatan seisi rumah.

 
Visi DOA adalah “Komuniti Agro Lestari” dan misi DOA adalah untuk “Meningkatkan Pendapatan Agro Komuniti Melalui Amalan Pertanian Lestari”. Pucuk pimpinan DOA adalah diketuai oleh Pengarah Pertanian Sarawak, Encik Dominic anak Chunggat dan beliau dibantu oleh Timbalan Pengarah Pertanian (Pembangunan) iaitu Encik Gilbert anak Lgi dan Timbalan Pengarah Pertanian (Operasi), Pn. Radziah binti Jack. 
 
DOA berperanan dalam pembangunan produk, penyelidikan di samping promosi dan pasaran produk berasaskan pertanian. Selain itu, DOA turut menawarkan perkhidmatan jaminan kualiti iaitu dari segi persijilan dan jaminan kualiti pertanian, pencegahan daripada pelbagai penyakit tumbuhan melalui pelesenan dan penguatkuasaan.
 
DOA menyokong aspirasi Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) melalui skim-skim bantuan pertanian, penyelidikan dan pembangunan pertanian, analisa dan pengurusan data dan berkolaborasi dengan sektor awam dan swasta. Di samping itu, DOA turut membekalkan perkhidmatan nasihat dan konsultasi dari segi teknikal, latihan dan kursus kepada golongan sasar.
 
Pada masa kini, DOA mempunyai15 bahagian di ibu pejabat, 12 Pejabat Pertanian Bahagian di seluruh Sarawak dan seramai 1901 warga kerja yang sedang berkhidmat. Institut Pertanian Sarawak adalah sebuah institusi pendidikan pertanian di bawah DOA yang menawarkan Program Sijil Pertanian sepenuh masa kepada para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai salah satu usaha bagi memupuk minat golongan muda dalam menceburkan diri dalam bidang pertanian dan perusahaan.