fb-439


Picture

NEMATOD - MUSUH YANG TERSEMBUNYI

Pendahuluan

Nematod adalah sejenis haiwan intertebrata. Sebahagian daripada spesies nematod boleh hidup dalam tanah atau tumbuhan dan sebahagian lagi hidup di dalam air. Nematod hidup dalam tumbuhan dengan memakan kandungan sel-sel akar, batang dan daun. Beberapa spesies nematod pula menjadi vektor kepada virus. Nematod hadir dalam hampir setiap jenis tanah dan yang membezakan mereka adalah sama ada mereka menjadi perosak atau tidak kepada perumah pilihan merena, iaitu tanaman yang semuai untuk mendapatkan makanan.

Kerosakan dan Simptom

Secara amnya, nematod menyebabkan kerosakan fizikal ke atas akar, batang atau daun.

Simptom kerosakan pada organ-organ ini biasanya berbentuk lesion, puru dan kehitaman. Keseluruhan pokok nampak kurang sihat dan kelihatan seperti kekurangan zat makanan. Dalam keadaan kemarau atau tegasan yang lain, tanaman menjadi mudah layu. Selain daripada kerosakan fizikal secara langsung, nematod juga mengalakkan jangkitan pathogen-pathogen lain seperti bakteria dan kulat. Sebagai contoh, nematod puru akar iaitu Meloidogyne incognita bersaling tindak dengan Fusarium solani dan seterusnya mengakibatkan kerosakan yang teruk pada tanaman tembakau.

Tanaman yang diserang oleh nematod pada amnya menunjukkan simptom-simptom yang berikut:

  1. Kadar pertumbuhan yang lambat
  2. Klorosis pada daun
  3. Daun mudah gugur dengan banyaknya
  4. Terbantut

Kadar kerosakan pada tanaman jangka panjang agak lambat. Kesan daripada serangan ini lebih ketara jika pokok itu berada di bawah tegasan (under stress) seperti ketika musum kemarau (kering) yang panjang.

Pokok durian yang diserang semasa di dalam keadaan kekurangan air, akan mengalami peluruhan daun yang teruk, mengakibatkan dahan menjadi tidak berdaun dan yang tinggal hanya pucuk-puck jemala pokok. Jika hujan kembali turun, daun akan tumbuh pada bekas-bekas ranting buah.

Kerosakan dari segi merosotnya kualiti dan pengeluaran hasil lebih ketara pada tanaman pisang. Tandan menjadi kecil dengan bilangan sisir dan buah yang semakin kurang.

Simptom penyakit dan kerosakan di permukaan tanah menggambarkan sistem akar yang telah rosak. Pembentukan puru akar pelbagai saiz adalah akibat dari kesan serangan sejenis nematode iaitu Meloidogyne sp. Jika serangan tidak serius puru kelihatan hampir serupa dengan nodul (bintil) yang terbentuk daripada aktiviti bakteria peringkat Nitrogen pada akar perumah. Pada tanaman perumah yang sangat mudah diserang (susceptible) nematod seperti jambu batu dan cili, pembentukan puru boleh mencacatkan akar sehingga ia menjadi reput, bergabus, berwarna hitam dan tanpa akar serabut.

Walau bagaimanapun, serangan spesies nematod yang lain mengakibatkan simptom yang kurang jelas misalnya, tanaman durian yang diserang oleh Xiphinema sp. menunjukkan pertumbuhan yang lambat, akar menjadi pendek dan tebal (stubby) kerana proses pemanjangannya terhenti. Dalam kes serangan nematod Pratylenchus sp. pula, terdapat luka (lesion) di akar yang menyerupai luka-luka yang disebabkan oleh alat-alat mekanikal pertanian atau seperti tanda serangan kulat.

Kaedah-kaedah Kawalan

Prinsip pengurusan perosak bersepadi haruslah diutamakan dalam pengawalan nematod. Aras populasi nematod dalam tanah atau anak benih hendaklah dipastikan sebelum membuat sebarang keputusan untuk mengelakkan pembaziran bahan dan pencemaran alam sekitar.

1. Kaedah Kawalan Kimia

Bahan-bahan bersifat wasap (fumigant) boleh digunakan untuk memusnahkan populasi nematod di dalam tanah. Keadaan tanah yang berstruktur dan agak kering amat perlu untuk mendapatkan kesan pengwapan yang baik. Bahan pewasap ini berbentuk butiran atau cecair. Di antara bahan-bahan yang terbukti sesuai dan baik ialah fenamiphos dan karbofuran.

Keupayaan karbofuran dan fenamifos untuk mengawal nematod didapati berbeza. Fenamifos (contoh: Nemacur) sejenis racun fosfat yang mengikut enxim asetilkolin-esterase di dalam sistem saraf nematod secara tidak bertimbalbalas (irreversible) sementara karbofuran iaitu sejenis racun karbamat (contoh Furadan), mengikut enzim tersebut secara berbalik (reversible) (Spurr 1985). Furadan digunakan pada kadar 50-60 g/pokok. Manakala Nemacur pula pada kadar 20-25 g/pokok. Manakala Nemacur pula pada kadar 20-25 g/ pokok dengan kekerapan 4 bulan/rawatan.

2. Kaedah Kawalan Fizikal

Satu daripada contoh kaedah ini ialah rawatan air panas. Kaedah ini sesuai untuk anak benih seperti sulur tanaman pisang. Pada suhu dan tempoh yang sesuai, nematod dalam akar dan umbi pisang boleh dimusnahkan sebelum menanam. Sulur pisang boleh direndam dalam air bersuhu tetap 55 darjah celsius se;ama 15-20 minit. Populasi nematod merosot dengan ketiadaan tanaman perumah tetapi beberapa peratus daripadanya boleh hidup dengan bergantung kepada keadaan persekitaran. Umpamanya pada tanaman padi, pembajakan yang lama dan dalam boleh mengurangkan H. oryzae tetapi perlu dilakukan dalam keadaan 12 bulan berkeadaan basah dan masa yang lama lagi diperlukan bagi keadaan kering. Pengurusan rumpai yang baik boleh mengurangkan populasi nematod sewaktu ketiadaan padi dan semasa pertumbuhan tanaman yang lain.

3. Kaedah Kawalan Biologi

Kaedah ini masih memerlukan banyak kajian dan percubaan. Namun beberapa organism, seperti Bacillus pentrans (sejenis bacteria) dan Paecilomuces lilacinus (sejenis kulat) berupaya memparasit dan mengurangkan populasi nematod puru akar dalam tanah.

4. Kaedah-kaedah Kawalan Lain

Kaedah-kaedah ini termasuklah penggunaan varieti yang resistan kepada serangan nematod, penggiliran tanaman, penggunaan bahan-bahan organan seperti najis haiwan dan sisa cengkerang atau membiarkan tanah tanpa tanaman yang rentan kepada nematod dan sebagainya.

Penggunaan Tagetes spp Kultivar Harmony dan Harmony

Selain menggunakan kaedah-kaedah yang tersebut di atas, penggunaan Tagetes spp. atau bunga Tahi Ayam boleh mengurangkan aras populasi nematod di dalam tanah. Antara spesies nematod yang dapat dikawal adalah Pratylenchus, Meloidogyne, Tylenchorynchus, Rotylenchus, Helitylenchus dan nematod ektoparasit iaitu Ditylenchus dan Aphelenchoides. Kandungan kimia di dalam akar bunga ini iaitu Thiopene bertindak sebagai racun yang mempunyai prinsip nematisid yang boleh membunuh nematod. Pratylenchus yang memasukki akar akan mati dalam tempoh tiga (3) hari daripada tarikh ia memasukki akar itu. Walau bagaimanapun, pada Meloidogyne ia hanya mempunyai kesan racun kepada nematod itu dalam masa tiga hingga empat minggu selepas memasuki akar. Oleh itu, disyorkan menanam bunga Tahi Ayam ini di sekeliling ladang atau antara barisan pokok atau diselangselikan dengan jarak 60 cm antara tanaman ladang.

Antara kultivar yang mempunyai kesan keracunan terhadap nematod ialah Tagetes patula, Tagets erecta dan Tagetes minuta. Walaupun kaedah ini tidak mempunyai nilai komersial kepada petani, tetapi kesannya terhadap aras populasi nematod di dalam tanah amat berkesan selain daripada mencantikkan pemandangan di sekitar kawasan. Di samping itu, ia tidak mempunyai kesan sisabaki racun dalam tanah dan secara tidak langsung membaiki udara persekitaran.




PENANAMAN UBI KELEDEK

PENGENALAN

Nama Saintifik:    Ipomoea batatas

Asal:    Bahagian Tropika Benua Amerika

Famili:    Convolculaceae

Sesuai ditanam:    Kawasan 40o U hingga 30o S.

Kandungan Zat Makanan:    Karbohidrat, Vitamin A

JENIS :

Ubi Berair

Ubi ini menjadi lembut apabila direbus atau digoreng.  Di Malaysia, ubi keledek yang berkulit merah tergolong dalam jenis berair.  Jenis ini biasanya mengeluarkan hasil yang tinggi.  Varieti Cina tergolong dalam kumpulan ini.

 

Ubi Jenis Kering

Jenis ini tidak mudah lembut apabila digoreng atau direbus.  Lazimnya berkulit putih manakala hasilnya kurang sedikit berbanding dengan jenis berair.  Varieti Gendut tergolong dalam kumpulan ini.
 

VARIETI :
   

(i)    Varieti Gendut (MSP 94)

Varieti ini diperolehi dari MARDI Semenanjung.
Kandungan kanji:    23%
Kandungan Karotena:    31 ug/100g
Brix:    10.0 %
Kualiti Pemakanan:    isinya empuk dan tekstur isi kering setelah direbus atau digoreng

Ciri kualiti pemakanan ini sesuai untuk makanan segar disamping boleh mengganti ubi kentang dalam masakan kari.

Berdasarkan ciri-ciri ini, Jabatan telah mengesyorkan penanaman varieti ini.

 

Ciri-ciri Varieti Gendut

Daun berbentuk hati, pucuk daun berwarna hijau muda dan gagang hijau.  Batang warna hijau, kulit ubi berwarna aperang kekuningan, licin dan nipis sementara isinya berwarna putih.

Picture
Gambar menunjukkan ubi keledek Varieti Gendut

(ii)    Varieti Cina

Varieti ini agak popular di kalangan penduduk tempatan.  Isinya empuk dan agak basah apabila direbus atau digoreng.

Picture
Gambar menunjukkan ubi keledek Varieti Cina

 

 

Ciri-ciri Varieti Cina

Daun berbentuk hati, pucuk daun berwarna hijau dengan garisan ungu di tepi daun dan gagang daun hijau dengan ungu di bahagian berhampiran batang.

Batang hampir keseluruhan berwarna ungu, kulit ubi berwarna jingga, menggerutu dan nipis sementara isinya juga berwarna jingga.

KESESUAIAN TANAH

Bagi mendapatkan hasil tinggi, ubi keledek memerlukan keadaan panas yang berpanjangan iaitu sekurang-kurangnya 3 bulan. 

Ia dapat hidup dengan subur sekiranya mendapat cukup kelembapan tetapi tidak tahan kepada keadaan air yang bertakung.  Jika ia ditabama di tanah yang agak basah dan lembab, biasanya ubi segar yang dihasilkan tidak empuk isinya.

Namun, ia tahan terhadap keadaan cuaca kemarau.

Tanah yang paling sesuai ialah tanah gembur berpasir, mengandungi banyak bahan organik dan kadar penyerapan air yang baik.

Tanah yang terlalu berpasir akan menyebabkan ubi yang dihasilkan berbentuk memanjang.

Tanah liat juga kurang sesuai kerana kekurangan bahan organik dan tidak gembur untuk pertumbuhan ubi yang optima.

Ia juga sesuai ditanam ditanah gambut yang telah matang dan mempunyai sistem perparitan yang baik.

PENANAMAN

Penyediaan Tanah

Tapak penanaman perlu dibajak dan diputar.  Sekali bajak dan putar sudah mencukupi.  Batas berukuran 60 cm lebar dan 30 cm tinggi disediakan.

Penyediaan Bahan Tanaman

Ubi keledek boleh dibiakkan dengan dua cara iaitu keratan atau ubi.

Penggunaan keratan lebih murah dan mudah.  Keratan ditanam terus ke ladang atau dibiak dahulu untuk mendapatkan keratan yang sama umur dan masa pembiakannya selama 50-60 hari.  Kemudian batang yang telah dibiak perlu dipotong menjadi keratan berukuran 20-30 cm.

Penanaman Di Ladang

Keratan sepanjang 20 cm dimasukkan ke dalam tanah dan 10 cm lagi dibiarkan di atas tanah.

Jarak penanaman:    1 m x 0.3 m (1 ha - 33,333 keratan)


PENGURUSAN LADANG

Penyiraman

Sekali sehari dalam cuaca yang panas dan kering.

Pengurusan Tanaman

Batang-batang yang menjalar keluar batas perlu diangkat ke atas batas supaya akar tidak tumbuh di buku-buku sepanjang batang.  Kerja-kerja ini dilakukan sebulan sekali atau bergantung kepada keadaan tanaman.  Jika ini dibiarkan akan menghasilkan ubi-ubi yang kecil di batang utama.

Merumpai

Rumpai di antara barisan dan di atas batas (cangkul atau bahan kimia).  Racun rumput pra-cambah tidak mendatangkan bahaya kepada keratan-keratan yang baru ditanam.  Sebaiknya meracun rumpai dilakukan sebelum penanaman keratan di ladang.

Pembajaan

Jenis Baja
Masa Membaja
Kadar per hektar
Kapur 3 mgg sebelum penanaman 1.0 mtan
Urea 3 minggu sebelum penanaman 57 kg
TSP " 70 kg
MOP " 55 kg
Urea Sebulan selepas penanaman 57 kg

 

MEMUNGUT HASIL

Kebanyakan jenis ubi keledek boleh dipungut 3-4 bulan selepas ditanam.

Daun dan batangnya perlu dibuang sebelum ubi dipungut.  Cangkul tanah disisi batas agar ubi digali dengan mudah.  Ubi kemudian dipungut dan dikelas mengikut saiz untuk tujuan pasaran.

Varieti Gendut dan Cina boleh mengeluarkan hasil ubi segar sebanyak 20-25 mtan sehektar jika ditanam di tanah mineral dengan amalan agronomi yang disyorkan.

Bagi tanah gambut, ia boleh mengeluarkan hasil ubi segar sebanyak 10-15 mtan sehektar dan di tanah asid sulfat didapati Varieti Cina boleh mengeluarkan hasiol sebanyak 10-15 mtan sehektar.

 

PENYAKIT DAN PEROSAK

Penyakit

(i)    Keropeng (agen penyebab: Elsinae batatas)

Tanda-tanda: 

Patogen ini menyebabkan binti-bintik pada urat daun, petiol, lai daun dan batang.  Bintik-bintik ini kecil, bulat hingga eliptikal yang berwarna coklat yang dikelilingi oleh warna ungu.

Bahagian terkena jangkitan menjadi berkabus dan kemunculan keropeng, tisu-tisu menjadi berubah bentuk, cacat dan pertumbuhan terbantut.

Cadangan kawalan:

  1. Guna varieti tahan penyakit jika ada
  2. Guna sala satu racun kulat seperti Benomyl (Benlate), kuprum oksiklorid atau Maneb yang disembur selang 10-14 hari.
(ii)    Bintik Daun Cercospora

Organisma penyebab:    Cercospora timorensis

Tanda-tanda:

Bintik-bintik halus berwarna perang , berbentuk bulat dan bersiku-siku pada daun.  Serangan teruk menyebabkan daun luruh.  Kerap terjadi dalam keadaan cuaca lembab.

Cadangan kawalan:

Serangan teruk - guna racun kulat seperti Maneb atau Zineb.

Perosak

(i)    Kumbang (Cylas formicarius)

Serangga ini paling teruk merosakkan ubi keledek. Kumbang dewas memakan bahagian permukaan ubi dan larvanya membuat saluran dalam batang dan ubi.  Serangan boleh dikesan apabila kelihatan lubang-lubang halus pada ubi.

Cadangan Kawalan:

  1. Amalkan penanaman bergilir
  2. Gunakan bahan tanaman bebas serangga perosak
  3. Remdam keratan dalam racun serangga selama 30 minit sebelum ditanam
  4. Taburkan racun butir carbofuran di sekeliling pangkal tanam-tanaman
  5. Segerakan penuaian bila ubi sudah sedia untuk dipungut hasil
  6. Timbus ubi-ubi yang terdedah
(ii)    Tikus

Tikus biasa memakan yang terdedah di permukaan tanah.  Seranggan yang serius boleh menyebabkan kerugian besar.  Umpan yang mengandungi racun walfarin boleh digunakan.
 

ANGGARAN KOS PENGELUARAN DAN PENDAPATAN SEMUSIM

Anggaran untuk:  

Kepadatan penanaman  : 33,333 kertan sehektar
Jarak penanaman : 1.0 m x 0.3 m bagi keluasan 1 hektar
Tempoh matang : 4 bulan
Varieti keledek : Gendut atau Cina

Kos Pengeluaran  

Jenis kerja atau bahan Harga bahan (RM) Tenaga Keluarga
Jumlah hari bekerja
Tenaga Keluarga
Kos sehari (RM)
Jumlah kos (RM)
1.    Benih
-
-
-
-
2.    Menyedia kawasan dan batas
800.00
-
-
800.00
3.    Menanam
-
16
240.00
240.00
4.    Menyiram
-
12
180.00
180.00
5.    Membaja
381.09
5
75.00
456.09
6.    Merumpai
174.50
10
150.00
324.50
7.    Mengawal perosak
444.50
10
150.00
594.50
8.    Menuai
-
48
720.00
720.00
Jumlah kos pengeluaran
1,800.09
101
1,515
3,315.09

Anggaran Pendapatan Semusim

Hasil
(kg/ha)
Pendapatan Jumlah pendapatan pada 3 harga jualan
(RM/kg)
    0.50 1.00 1.50
Rendah
(7,000)
(i)   Kasar
(ii)  Bersih
(iii)  Keluarga
3,500.00
184.91
1,699.91
7,000.00
3,684.91
5,199.91
10,500.00
7,184.91
8,699.91
Sederhana
(11,000)
(i)   Kasar
(ii)   Bersih
(iii)  Keluarga
5,500.00
2,184.91
3,699.91
11,000.00
7,684.91
9,199.91
16,500.00
13,184.91
14,699.91
Tinggi
(15,000)
(i)   Kasar
(ii)   Bersih
(iii)  Keluarga
7,500.00
4,184.91
5,699.91
15,000.00
11,684.91
13,199.91
22,500.00
19,184.91
20,699.91

Sumber:    Penanaman Ubi Keledek, disusun dan disunting oleh Seksyen Editorial, Jabatan Pertanian Sarawak






JANGKITAN VIRUS HIGHLY PATHOGENIC AVIAN INFLUENZA   (HPAI)

Apa itu Virus Influenza?

Virus influenza yang menyerang ternakan ayam adalah sama genus dengan virus influenza yang menyebabkan demam selsema pada manusia.  Ia adalah virus RNA keluarga Orthomyxoviridae, genus Influenza.  Saiz virions adalah 80-120 nm diameter (Rajah 1)
 

 Picture
Rajah 1:  Ilustrasi Virus Influenza
Pada masa ini virus influenza sub-tip H5N1 dan H7N7 adalah dikenalpasti sebagai  "Highly Pathogenic Avaian Influenza" (HPAI).  Virus H5N1 adalah yang menyebabkan wabak di Hong Kong, Korea, China, Taiwan, Vietnam, Thailand dan Indonesia.  Manakala virus H7N7 telah menyebabkan wabak di Holland.

 

 

 

 

 






Apakah Tanda-tanda Jangkitan HPAI?

Ayam yang dijangkiti virus HPAI akan menunjukkan tanda klinikal setelah 2-3 
minggu dijangkiti.  Tanda utama sebelum ayam tersebut mati ialah:

  • Berair pada hidung dan mata
  • Berak cair
  • Balung dan kaki menjadi amat merah (Rajah 2), kemudian menjadi pucat dan kebiruan
  • Kematian yang tinggi mencapai 70-100peratus
  • Bagi ayam penelur, pengeluaran merosot dan terus berhenti
 Picture
Rajah 2:  Tanda klinikal jangkitan HPAI.  Balung, gelambir dan kaki membengkak dan menjadi merah

Bagaimana Virus HPAI Tersebar?

Virus HPAI hadir di dalam cecair dari mata, hidung dan mulut (selsema) dan juga najis ayam yang terjangkit.  Virus ini hidup di persekitaran kadang-kadang  mencapai masa hingga sebulan.  Ayam yang lain akan terjangkit menerusi makanan dan air minum tercemar, pernafasan dan melalui mata. Jadi ia boleh menjangkiti secara langsung (contact) atau tidak langsung (formites).  Jangkitan tidak langsung boleh menyebabkan wabak merebak dari satu ladang ke ladang yang lain.

Apakah Peranan Burung Hijrah Dan Unggas Air?

Burung hijrah (migratory birds) dan unggas air adalah perumah "reservoir" yang tidak menunjukkan tanda klinikal.  Burung ini berhijrah dari kutub utara ke Australia dan singgah di beberapa tempat termasuk Malaysia.  Jika terdapat jangkitan di tempat asalnya dan persinggahannya, burung ini akan turut membawa virus tersebut.  Virus ini akan mencemari air dan sekitaran "bird sanctuary".  Jika terdapat ladang sekitaran "bird sanctuary" ini jangkitan boleh berlaku.  Unggas air tempatan jika turut mengunjungi "bird sanctuary" boleh dijangkiti dan menjadi pembawa.

Apakah Yang Perlu Dilakukan Jika Mengesyaki Ayam-ayam Di Ladang Dijangkiti HPAI?

Apabila anda mengesyaki ayam-ayam di ladang ada dijangkiti HPAI (kematian lebih 5% dengan tanda-tanda klinikal dinyatakan) anda perlu mengambil tindakan SEGERA:
 

 Picture
Rajah 3: Periksa kesihatan ayam di ladang setiap hari
  • Henti pergerakan serta-merta - tutup ladang, pastikan tiada ayam dibawa keluar dari ladang, tiada kenderaan keluar masuk, kawal pekerja keluar masuk ladang, pekerja yang perlu sahaja dibenarkan bertugas dan pastikan mereka memakai pakaian keselamatan
  • Tingkatkan biosekuriti di pintu masuk ladang
  • Hubungi Bilik Gerakan HPAI, Makmal Diagnosa Veterinar Negeri Sarawak dan mana-mana Pejabat Veterinar Bahagian
  • Kemaskini maklumat ladang
Pengesahan Jangkitan HPAI

Pengesahan jangkitan dibuat di Institut Penyelidikan Haiwan, Ipoh.  Sampel-sampel akan dikumpul dan disuntik ke dalam telur berembrio.  Cecair alantoik akan diambil dan dikenakan ujian HI dan HA.  Ujian pengesahan yang lebih pantas menggunakan teknik PCR (polymerase chain reaction) juga dijalankan.

Kerjasama Berbagai Pihak Dapat Membantu Mengawal Rebakan Jangkitan HPAI

Rebakan jangkitan HPAI ini akan dapat dikawal dengan mengambil tindakan SEGERA:

  • PENTERNAK memberitahu Jabatan bila mengesyaki berlaku wabak di ladang
  • JABATAN menjalankan penyiasatan dan membuat pengesahan
  • PENTERNAK, JABATAN DAN PIHAK INDUSTRI memberikan kerjasama bila pemusnahan terpaksa dijalankan
  • PERSATUAN PENTERNAK mempastikan ahli-ahli mematuhi arahan yang dikeluarkan Jabatan bagi mengawal dan membasmi penyakit
Adakah Manusia Boleh Dijangkiti HPAI (ZOONOTIK)?

Kedua-dua jenis virus HPAI H5N1 dan H7N7 boleh menjangkiti manusia dan menyebabkan kematian terutamanya kanak-kanak.  Pastikan pekerja ladang memakai pakaian pelindung keselamatan yang sesuai terutamanya "mask"
 

SILA HUBUNGI TALIAN DAN EMEL BERIKUT BILA MENGESYAKI WABAK SELSEMA BURUNG MELANDA LADANG ANDA:

Talian: 082-612949, 082-611607
Fax: 082-613460

Bahagian Veterinar, 
Jabatan Pertanian Sarawak



ARTIKEL LAIN DALAM KELUARAN INI:

KUNYIT (Sejenis Herba Tempatan)

Nama Saintifik
:
Curcuma domestica Valeton
Keluarga
:
Zingiberaceae
Nama Tempatan
:
Kunyit
Penyediaan
:
Tepung kunyit digunakan dalam masakan kari. Bunga dan daun muda digunakan sebagai ulam-ulaman. Daun yang lebih tua boleh digunakan sebagai pewangi dalam pelbagai masakan.
Kegunaan Tradisi
:
Digunakan untuk merawat cirit-birit, sakit kuning dan angin untuk kanak-kanak.

Picture




 

RESIPI CENDOL

Bahan-bahannya:

4 cawan tepung beras*
1/2 cawan tepung ubi*
8 helai daun pandan (ditumbuk)
5 cawan air
1/2 sudu teh garam
Pewarna makanan hijau

Cara membuatnya:

1. Daun pandan yang ditumbuk dimasukkan ke dalam lima cawan air. Tapis airnya dan dimasukkan garam dan pewarna makanan hijau.

2. Ambil 2 cawan air daun pandan tadi (No. 1) dan bancuh dengan bahan tepung. Ketepikan.

3. Lebihan air daun pandan dijerang di dalam periuk. Bila mendidih, masukkan adunan tepung sambil dikacau-kacau. Kecilkan api dan masak sehingga mendidih, terus alihkan dari api. Biarkan selama 5 minit.

4. Adunan yang panas ini dituang ke atas acuan pembentuk cendol yang diletakkan di atas besin berisi air sejuk. Tekan-tekan adunan dengan sudu leper, biar adunan keluar berjalur-jalur ke dalam air sejuk. Biarkan cendol di dalam air sejuk sehingga ia menjadi keras. Tuskan sebelum diguna.

 

Sirap gula nipah:

600 gram gula nipah
2 cawan air
4 helai daun pandan disimpul

1. Jerangkan kesemua bahan-bahan di atas di dalam periuk sehingga mendidih.

2. Tapis sirap dan ketepikan.

Kuah santan:

1 kg kelapa parut
3 cawan air masak yang telah sejuk
1 sudu teh garam

1. Kelapa parut digaulkan dengan 3 cawan air. Perahkan santan pekat.

2. Masukkan garam ke dalam santan dan ketepikan.

Menyediakan hidangan cendol:

Sudukan cendol ke dalam mangkuk-mangkuk, masukkan ketulan ais (jika ada) dan tuangkan kuah santan dan sirap gula nipah mengikut rasa.