Penanaman Petai
PENANAMAN PETAI BOLEH DIKOMERSIALKAN
BEKENU : Konsep "satu kampung satu produk:, inilah yang dilaksanakan oleh sebuah kampung di Daerah Bekenu, Miri dengan produknya "buah petai". Salah seorang daripada pengusaha projek tersebut, Encik Achi bin Haji Amin dari Kampung Pejuang, Sg. Kelulit, Bekenu, pada mulanya berkecimpung dengan projek penanamanpetai secara kecil-kecilan sebelum berganjak menuju ke arah komersial pada masa ini. |
Bagi Encik Achi bin Haji Amin, beliau mula berjinak-jinak dengan tanaman petai atau nama saintifiknya "Parkia speciosa" lebih 10 tahun yang lepas. Dengan kesesuaian tanah yang rata dan agak kering, pokok petai yang memang terdapat asalnya di kawasan ini mendorong beliau dan rakan-rakannya menceburi diri dalam projek ini. Kini beliau mempunyai lebih 200 pokok petai dalam kawasan seluas 5 ekar. Hasil Sambil menunggu hasil daripada projek baru, beliau kini mendapat hasil agak lumayan daripada pokok yang ditanam dahulu. Beliau yakin bahawa dengan keluasan projek yang lebih besar, pendapatan akan berlipat ganda pada masa akan datang. "Walaupun buah petai bermusim tapi pada pengalaman saya, ia boleh mengeluarkan hasil sepanjang tahun. Namun musim berbuah utama ialah pada bulan Ogos hingga Januari tiap-tiap tahun," jelas beliau. Pokok petai mula mengeluarkan hasil selepas berumur empat tahun dan menjangkau sehingga 15 tahun. Purata hasil pada setiap pokok adalah di antara RM200 hingga RM500 bergantung kepada saiz buah. Menurut beliau, tidak ada masalah dengan pasaran dan kebanyakan hasil dijual di tepi jalan di pasar Bekenu, di samping dipasarkan ke negara jiran. |
|
Penglibatan Agensi Kerajaan Penanaman komersial projek petai ini bermula pada tahun 2001 dengan terbinanya parit dan infrastruktur di kawasan tersebut oleh Jabatan Pengairan dan Saliran. Kini lebih besar lagi kawasan dibuka untuk projek penanaman petai dan hampir semua penduduk di sini melibatkan diri dalam projek ini. Difahamkan setiap petani telah menanam kira-kira 100-200 poko petai seorang tetapi Jabatan Pertanian hanya memberi subsidi kepada 50 pokok atau 0.6 ha sahaja untuk setiap petani. Selebihnya ditanggung oleh mereka sendiri. Dengan jarak tanaman 30 x 30 kaki persegi, ada juga kebun yang diselang seli dengan poko-pokok lain seperti rambutan, cempedak dan nanas untuk menambah pendapatan. |
Jenis Petai Jenis pokok petai yang ditanam di sini ialah jenis tempatan yang mereka panggil "petai kelulit" bersamaan dengan nama kampung mereka. "Asalnya memang daripada kawasan ini dan ia mempunyai keunikannya tersendiri," jelas Encik Achi. Satu sifat yang ketara pada jenis ini ialah pokoknya agak rendah dan ini menyenangkan pengutipan buah tanpa menebang pokok atau memotong dahan. Ia juga cepat mengeluarkan hasil kalau dibandingkan dengan pokok petai daripada kawasan lain di Sarawak. Di samping itu rasa buahnya juga sedap. |