Miding
PENGELUARAN Benih dan Semaian Miding boleh dibiak daripada spora atau batangnya seperti batang rizomatous. Keratan batang sepanjang 25-30 cm dengan 2-5 buku dan sesetengah daun diambil dari pokok miding liar. Keratan dicucuk ke dalam beg plastik kecil 10 cm x 25 cm (4" x 8") yang berisi tanah subur. Kira-kira 2-3 minggu, dan selepas itu beransur-ansur didedah kepada sinaran matahari. Dalam tempoh ini, penyiraman mestilah dilakukan dengan kerap. Beberapa bintil baja dan beberapa sudu baja organik reput baik untuk pertumbuhannya. Kira-kira 3-4 bulan, keratan sudah sedia untuk diubah ke ladang. Penanaman di ladang Ia sesuai ditanam di atas pelbagai jenis dan keadaan tanah, dari tanah asid sulfat yang rendah, paya gambut hinggalah ke tanah mineral berbukit. Di kawasan berbukit, tanah boleh dibajak untuk menggaul baja organik ke dalamnya. Kawasan yang dipilih untuk menaman paku miding hendaklah lembab ke basah. Pertumbuhan dan pengeluaran pelebah adalah terhad sekiranya ia terdedah kepada terlalu banyak air. Miding yang ditanam di tanah basah lembab berdekatan dengan sumber air akan mengeluarkan hasil yang baik. Keratan yang sudah berakar diubah ke tanah atau batas datar berukuran 1.2-1.5 m lebar. Paku miding ditanam pada jarak 60 cm x 60 cm dalam dua barisan atau 30 cm bagi satu barisan. Berikan ruang selebar 1.5-1.8 m di antara barisan untuk kemudahan laluan. Kira-kira 10,000 pokok miding diperlukan untuk penubuhan satu hektar petak dengan jayanya dan cepat. Membaja Satu atau dua kali pembajaan diperlukan - 200-400 g/m2 baja reput dan 10-20 g/m2 15:15:15 atau 12:12:15 atau 12:12:17:2 baja NPK akan menggalakkan pertumbuhan dalam tempoh 6-8 bulan. Bergantung kepada kesuburan tanah, kekerapan pembajaan boleh dipertingkatkan kepada sekali dalam 2-3 minggu semasa dalam pengeluaran. Pembajaan berlebihan didapati mengurangkan hasil. Latihan dan Pengurusan Paku miding ditanam di tanah datar atau dilatih memanjat pokok , sokongan hidup atau struktur lain yang sesuai yang membolehkan lebih banyak ruang untuk mempercepatkan pengeluaran hasil. Sekiranya ia ditanam di tanah datar, miding akan merayap di atas tanah. Batang yang produktif cenderung menjadi kurus dan tumbuh menegak. Sekiranya pucuk-pucuk ini mewujudkan pelepah yang lemah, ia harus dipotong bagi menggalakkan pertumbuhan pucuk baru. Daun dan pucuk lama boleh dicantas sekali setiap 6 bulan bagi membolehkan pertumbuhan baru. Oleh kerana tiang memberikan ruang lebih luas untuk pucuk-pucuk tumbuh, secara teorinya, sistem penanaman ini boleh menghasilkan lebih banyak pelepah. Tiang sokongan atau cuat dicucuk pada jarak 1 m dalam barisan dan 1.5-1.8 m jarak antara satu sama lain. Bagi memudahkan kerja-kerja memetik, ketinggian cuat tidak harus melebihi 150 cm (5') dari atas tanah. Dan seperti sistem penanaman datar, daun dan pucuk tua harus juga dicantas. Berbanding dengan penanaman secara mendatar, penuaian pertama agak lewat. Jangan gunakan mana-mana racun herba untuk mengawal rumput kerana paku miding sangat sensitif terhadap racun. Dalam musim panas dan kering, pengairan sangat berguna terutama di tanah tinggi. Perosak dan penyakit kurang dan tidak serius dan tiada penggunaan kimia diperlukan. Oleh kerana penanaman miding memerlukan input kimia yang minima, pengeluaran hasil boleh dilakukan dengan menggunakan baja organik. Penuaian dan Pra-Tuai Pelepah muda dituai setiap 3 hari sekali dan biasanya apabila kering daripada embun pagi atau pada lewat petang. Kerja menuai dilakukan secara memetik dengan cara mematah tangkai bahagian bawah daunnya yang bergulung menggunakan ibu jari dan jari telunjuk. Tangkai-tangkai ini kemudiannya dikumpul di dalam bakil, digred dan dijual. Pelepah bergaris pusat lebih daripada 3 cm digred berasingan sebaai gred super A, B dan C. Tangkai-tangkai ini kemudiannya dipotong 20 cm daripada pucuknya dan diikat kepada 250 g atau 500 g setiap satu. Setiap ikat dibungkus dengan daund an diikat dengan gelang getah. Untuk mengekalkan kesegarannya, bungkusan paku miding diletak ke dalam bekas dengan bahagian yang dipotong direndam dalam 0.5 cm air. Bagi penyimpanan yang lebih lama, paku miding dibungkus dengan kertas terlebih dahulu, diletak dalam beg plastik dan disimpan dalam kotak yang dingin. Hasil yang diperolehi daripada petak penanaman yang diwujudkan di tanah mineral dan asid sulfat, purata hasil yang direkod ialah 5-18 mt/ha. Daripada ini, 20% adalah gred A. Pulangan Kewangan Anggaran Kos sebanyak RM4,000 - RM6,000 untuk mendapatkan sehektar paku miding. Sebahagian besarnya adalah untuk membuat petak, terutama kalau miding ditanam bercuat, dan untuk penuaian. Penggunaan tenaga kerja separuh masa atau keluarga sendiri boleh mengurangkan kos pengeluaran. | Atas | Sumbangan: SRO Chai Chen Chong (SRO, ARC Semongok / Farmers Bulletin Jan-Feb 2005) |