Kacang Buncis

 

Kacang Buncis


PENANAMAN KACANG BUNCIS

1. Nama Tempatan: Kacang Buncis (Phaseolus vulgaris )

 
 Picture

2. Pendahuluan:

 

Kacang buncis merupakan sejenis sayuran kekacang yang berbuah dan sangat kaya dengan kandungan protin. Ia dipercayai berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan.

Pokok kacang buncis bertabiat tumbuh melilit, mempunyai akar tunjang dan sisi yang panjang dan memerlukan pancang untuk memanjat.

3. Jenis:

 

Terdapat 2 jenis yang ditanam iaitu jenis rimbun dan memanjat. Jenis yang biasa ditanam di negara ini ialah jenis memanjat di mana terdapat 2 varieti yang dipilih oleh MARDI iaitu:

a.

MBK 1 - Berbiji hitam, berbatang keperangan dan berbunga ungu. Jenis ini biasa ditanam dan disyorkan oleh MARDI.

b. MBK 2 - Berbiji kemerahan, berbatang kehijauan dan berbunga putih. Jenis ini ditanam terutama di kawasan Utara dan Melaka.

4. Tanah:

 

 

Kacang buncis boleh ditanam pada berbagai jenis tanah daripada pasir peroi hingga kepada tanah liat. Tanah yang gembur, subur, baik salirannya dan pH 5.5 - 6.8 adalah paling sesuai untuk penanamannya.

3. Penanaman:

  A. Menyedia Kawasan

Bajak dan gemburkan tanah sedalam 15 - 22 sm untuk pertumbuhan akar yang baik. Sediakan batas berukuran 1.2 m lebar, 0.3 m tinggi dan panjangnya mengikut keadaan kawasan. Jarak antara batas ialah 0.6 m.

  B. Menanam

Tanam 4 biji benih selubang dalam 2 barisan dengan jarak 0.6 m antara baris dan 0.5 m antara pokok. Setelah anah benih bercambah dan membesar, tinggalkan 2 pokok selubang sahaja. Sebanyak 9.5 kg biji benih diperlukan untuk kawasan seluas 0.4 ha.

  C. Menyedia Junjung
Untuk mendapatkan hasil yang tinggi, kacang buncis perlu diberi junjung. Sokong anak-anak tanaman yang berumur 3 minggu dengan menggunakan kayu pancang berukuran 1.8 m - 2.4 m. Condongkan kayu-kayu sokongan supaya bertentangan dan ikat di bahagian atas. Kemudian lentangkan kayu-kayu pada tiap-tiap sudut yang bertemu. Pastikan anak-anak tanaman melilit kayu sokongan.

Satu cara lagi untuk menyokong pokok ialah dengan sistem trellis. Sambung 2 tiang beruti atau batang kayu yang berhampiran dengan dawai kasar untuk dijadikan junjung. Kemudian gunakan dawai sederhana kasar dan ikat dawai ini dengan cara memanjang dan melintang. Gunakan tali rafia untuk membantu anak pokok memanjat junjung.

 

Rajah menunjukkan rupa bentuk junjung
untuk
pokok
kacang buncis

 Picture

4. Penjagaan:

  A. Menyiram
Siram tanaman pagi dan petang setiap hari kecuali hari hujan.

  B. Membaja Gunakan baja asas, baja tahi ayam, sebanyak 7 tan untuk 0.4 ha. Tabur baja dalam satu parit di tengah batas atau tabur rata-rata di atas batas dan gaulkan dengan tanah.

Selain daripada itu, baja kimia NPK 15:15:15 juga boleh digunakan sebanyak 400 kg/0.4 ha. Baja ini dibahagi kepada 3 kali pembajaan iaitu pada minggu ke-2, 4 dan 6 selepas menanam.
  C. Merumput Kawalan rumpai perlu dijalankan sepanjang masa untuk mengelakkan persaingan tanaman dengan rumpai.

5. Memungut Hasil:

 
Hasil boleh mula dikutip 7 minggu selepas menanam. Kutip kacang sebelum matang iaitu sebelum biji terbunjul. Kutip 2 - 3 hari sekali dalam masa 3 minggu. Hasil purata dianggarkan 4,235 kg bagi 0.4 ha.

| Atas |

 
Sumber: Panduan Menanam Kacang Buncis, BP 27/02.06/15R - Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia.