PENANAMAN KACANG BOTOR
1. Nama Tempatan: Kacang Botor, kacang kelisa (Psophocarpus tetragonolobus D.C. )
2. Pendahuluan:
|
Kacang botor atau kacang kelisa adalah sejenis sayuran berbuah yang sangat kaya dengan protin dan lemak serta vitamin A & B. Ia dipercayai berasal dari Papua New Guinea dan Asia Tenggara.
Pokok kacang botor tumbuh melilit dan memerlukan pancang/kayu junjung untuk memanjat. Ia selalu ditanam sebagai tanaman jangka pendek di kebun sayur atau di tepi-tepi pagar rumah.
Buah polong berukuran 15 - 20 sm panjang dan mempunyai 4 sayap yang bergerigis. Biasanya buah digunakan dalam masakan dan juga dimakan mentah sebagai ulam.
|
3. Tanah:
|
Kacang botor boleh ditanam di berbagai jenis tanah iaitu daripada ringan berpasir hingga kepada tanah lempong serta tanah gambut. Elakkan dari menanam di kawasan yang bertakung air. Tanah yang gembur, subur, baik salirannya dan pH5.5-6.0 adalah paling sesuai.
|
4. Penanaman:
|
A. Menyedia Kawasan |
Bajak dan gemburkan tanah sedalam 20 - 30 sm untuk memudahkan akar tumbuh dengan baik. Sediakan batas berukuran 1.3 m lebar, 30 sm tinggi dan panjangnya 7.5 m atau mengikut keadaan kawasan. Jarak antara batas ialah 30 sm.
|
|
B. Menanam |
Kacang botor dibiakkan dengan biji benih. Biji benihnya boleh diambil dari buah-buah yang telah cukup tua yang berwarna perang kehitaman. Gaul biji benih dengan racun kulat, contohnya thiram dengan kadar 3 gm bagi 100 gm biji benih sebelum menanam.
Biji benih boleh ditanam dengan jarak 50 sm antara pokok dan 1 m antara barisan ataupun 60 sm x 60 sm. Tiap-tiap batas mengandungi 2 barisan pokok. Tanam terus biji benih ke batas sebanyak 2 biji selubang, lebih kurang 2.5 sm dalam. Biji benih akan bercambah dalam masa 14 hari. Cabut dan tinggalkan hanya 1 anak benih yang sihat pada setiap lubang. Untuk kawasan seluas 0.4 ha, lebih kurang 7 kg biji benih diperlukan.
|
|
C. Menyedia Junjung |
Untuk mendapatkan hasil yang baik, kacang botor perlu diberi junjung. Sokong anak-anak tanaman dengan menggunakan kayu pancang berukuran 2.0 m - 2.5 m panjang. Condongkan kayu-kayu sokongan yang bertentangan supaya bersilang dan ikat di bahagian atas tempat bertemu untuk mendapatkan sokongan yang kuat. Kemudian lentangkan kayu-kayu pada tiap-tiap tempat persilangan. Pastikan anak-anak tanaman melilit kayu sokongan. Cara ini sesuai untuk kawasan penanaman yang kecil. (Rajah 1)
Satu cara lagi untuk menyokong pokok ialah dengan sistem trellis. Pacakkan sebatang kayu/tiang-tiang beruti yang berukuran lebih kurang 2.5 m panjang dan bergaris pusat 8 - 10 sm di bahagian tengah kedua-dua hujung tiap-tiap batas. Pacakkan pula tiang kayu berukuran 0.6 m panjang dan 5 - 6 sm garis pusat di hujung penjuru tiap-tiap batas (Rajah 2). Sambungkan tiang-tiang kayu yang bertentangan antara kedua hujung batas dengan dawai kasar. Gunakan tali rafia untuk membantu anak pokok memanjat junjung.
|
Rajah 1
|
|
Rajah 2
Sistem Trellis
|
|
5. Penjagaan:
|
A. Menyiram |
Siram pokok 2 kali sehari iaitu pagi dan petang kerana anak pokok memerlukan air yang banyak untuk membesar.
|
|
B. Membaja |
Pembajaan asas dengan baja organan atau baja asli seperti tahi ayam yang sudah reput dan kompos sebanyak 7 tan metrik untuk 0.4 ha atau kira-kira 22.5 kg (5 tin minyak tanah) sebatas yang berukuran 1.3 m x 7.5 m adalah mencukupi. Baja ini digaulkan ke dalam tanah seminggu sebelum menanam.
Untuk baja tambahan, gunakan baja kimia iaitu baja sebatian NPK, 12:12:17:2 + TE sebanyak lebih kurang 1.5 kg sebatas atau 15 - 20 gm/pokok ketika berumur 3, 5 dan 8 minggu. Ini memerlukan lebih kurang 450 kg baja untuk 0.4 ha. Baja boleh ditabur di keliling pokok sejarak 10 sm dari pangkalnya atau ditabur berjalur mengikut barisan tanaman.
Pembajaan berikutnya boleh dibuat selepas memungut hasil atau apabila kesuburan pokok kelihatan merosot.
|
|
C. Merumput |
Rumpai perlu dikawal sepanjang masa bagi mengelakkan persaingan dengan pokok untuk mendapatkan zat makanan, cahaya matahari dan air. Kerja merumput biasanya dilakukan dengan tangan, cangkul atau tajak.
|
|
D. Mengikat Rafia |
Apabila anak-anak pokok berumur 2 minggu, bolehlah mula mengikat tali rafia ke dawai junjung untuk membantu pokok memanjat. Ikatkan tali-tali rafia tersebut bersilang menghubungkan dawai bahagian bawah dengan dawai bahagian atas. Tentukan pokok meliliti tali-tali rafia tersebut.
|
6. Memungut Hasil:
|
Hasil boleh mula dikutip 10 - 12 minggu selepas ditanam. Pilihlah buah yang hijau serta rapuh dan berukuran 15 - 20 sm panjang. Kutipan boleh dibuat setiap 2 - 3 hari sekali untuk mengelakkan daripada banyak buah menjadi tua. Buah yang tua akan bersabut dan tidak sedap dimakan. Pokok yang subur boleh menghasilkan 10 biji buah sepokok sekali petik selang 2 hari.
Hasil purata buah yang boleh diperolehi dianggarkan antara 4,000 - 5,000 kg/ha. Buah-buah kacang botor ini selalu terdapat dijual di pasar-pasar dengan harga RM1.00 seikat.
|
| Atas |
|