LAWATAN SAMBIL BELAJAR METHODIST SENIOR LEARNING CENTRE KE ARC SEMONGOK

Disiarkan pada 22 Sep 2025
Sumber Berita: Ts. Pearlycia Brooke
ARC SEMONGOK, 22 SEPTEMBER 2025 – Seramai 40 orang ahli Pusat Pembelajaran Warga Emas Methodist (Methodist Senior Learning Centre) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Penyelidikan Pertanian Semongok (ARC Semongok) di sini, semalam.

Rombongan yang terdiri terutamanya daripada warga emas itu tiba di ARC Semongok pada jam 9.00 pagi dan disambut mesra oleh 2 orang wakil dari Unit Buah-Buahan, Pusat Penyelidikan Pertanian Semongok. Lawatan ini bertujuan untuk mendedahkan peserta kepada teknologi dan amalan pertanian yang boleh diaplikasikan secara hobi atau komersial, seterusnya menggalakkan kehidupan yang aktif dan produktif dalam kalangan warga emas.

Menurut En. Ong Siew Hui, ketua rombongan pusat pembelajaran tersebut, lawatan seumpama ini penting untuk memberi pendedahan baharu serta mengukuhkan lagi pengetahuan ahli mereka.

“Kami sangat berterima kasih kepada pihak ARC Semongok atas kesudian memberi tunjuk ajar. Aktiviti seperti ini bukan sahaja menambah ilmu malah memberikan pengalaman berharga kepada ahli kami,” katanya.

Semasa lawatan, peserta dibawa melawat ke dua lokasi utama iaitu tapak semaian buah-buahan dan pejabat ladang sayur-sayuran. Di tapak semaian buah-buahan, peserta diberi taklimat mendalam mengenai pelbagai teknik cantuman (grafting) yang digunakan untuk menghasilkan pokok buah-buahan yang berkualiti tinggi. Mereka menunjukkan minat yang mendalam terhadap demonstrasi teknik berkenaan. Seterusnya, di pejabat ladang sayur-sayuran, peserta didedahkan dengan teknik penanaman pelbagai jenis sayur-sayuran tempatan seperti terung asam, midin dan lain- lain lagi. Taklimat tersebut merangkumi aspek-aspek seperti penyediaan tanah, kaedah penanaman, kawalan perosak dan penuaian.

Lawatan selama setengah hari itu diakhiri dengan sesi soal jawab dan jamuan ringan. Diharapkan program seumpama ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif untuk warga emas ini mempelajari kemahiran baru, sekaligus menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat di kalangan mereka.
 
A group of people standing outside a building  AI-generated content may be incorrect.
Gambar 1: Taklimat daripada AAO Benya Libau sebelum lawatan dimulakan


Gambar 2: Pemberian cenderahati daripada ahli rombongan

A group of people in a garden  AI-generated content may be incorrect.
Gambar 3: AAO Abu Hamzah dari Unit Sayur-Sayuran memberi taklimat teknikal kepada peserta lawatan
 

Gambar 4: AAO Jame Kuh dari Unit Buah-Buahan memberi tunjuk ajar mengenai pelbagai teknik cantuman pokok buah-buahan