KOTA SAMARAHAN, 22 Sept: Sarawak dan New Zealand berpeluang memperkukuh kerjasama dalam sektor pertanian, khususnya melalui perkongsian teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan hasil dan produktiviti petani.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata perkara itu dibincangkan semasa kunjungan hormat Duta Khas Perdagangan Pertanian New Zealand, Hamish Marr di Bangunan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) di sini, hari ini.
Dalam kenyataan media, Dr Abdul Rahman yang juga Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPNS berkata pertemuan itu memberi ruang pertukaran pandangan mengenai cabaran dan peluang dalam sektor pertanian kedua-dua pihak.
“Pada pertemuan ini, kita berkongsi maklumat mengenai peranan PPNS dalam menyokong petani di Sarawak, selain meneroka potensi kerjasama jangka panjang dalam sektor pertanian.
“Kerjasama dengan New Zealand penting untuk berkongsi teknologi pertanian moden, termasuk penggunaan AI dan amalan inovatif lain dalam bercucuk tanam,” katanya.
Pertemuan itu turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Michael Walsh; Konsul Kehormat New Zealand di Sarawak, Tan Sri Hamid Bugo; serta beberapa pegawai kanan M-FICORD dan Suruhanjaya Tinggi New Zealand. – TVS