MIRI, 22 Sept: Persatuan Penanam Nanas Daerah Miri kini mengeksport antara dua hingga tiga tan nanas segar ke Brunei setiap minggu.
Pengerusinya, Wan Ajang, berkata eksport konsisten itu dijalankan oleh 64 ahli persatuan yang mengusahakan tanaman di sekitar Miri.
“Dulu kita hantar dua kali seminggu, tetapi sekarang hanya sekali kerana hasil agak berkurangan. Walau begitu, kita masih mampu memenuhi permintaan dengan sekurang-kurangnya dua hingga tiga tan seminggu,” katanya ketika ditemui TVS, hari ini.
Beliau menjelaskan hanya nanas bersaiz melebihi satu kilogram sebiji dieksport ke Brunei, manakala buah bersaiz kecil dipasarkan di Miri.
Menurutnya, persatuan berhasrat mengembangkan potensi dengan menghasilkan produk hiliran seperti jem dan kuih jika mendapat sokongan serta peruntukan daripada kerajaan.
“Harapan kami bukan hanya menjual nanas segar, tetapi juga menghasilkan produk hiliran. Malah ada ahli sudah mengikuti kursus berkaitan,” ujarnya.