MIRI, 2 Ogos: Para petani digesa memberi tumpuan kepada tanaman bernilai tinggi seperti nanas, pisang, kelapa, durian, terung asam dan dabai yang berpotensi menjana pendapatan setanding kelapa sawit.
Saranan itu disuarakan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, dalam sidang media selepas merasmikan Agrofest Subis 2025, di sini hari ini.
Menurut beliau, kepelbagaian tanaman bukan sahaja meningkatkan hasil pertanian negeri, malah dapat memperkukuh keterjaminan makanan dalam jangka panjang.
“Food security ini perlu diseimbangkan. Kita tidak mahu rakyat berdepan kekurangan makanan asas. Jadi, pelbagaikan tanaman adalah langkah penting ke arah itu,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan akan membiayai sepenuhnya kemudahan jentera pertanian termasuk proses membajak, menanam dan pengeringan padi, yang akan dikendalikan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
“PPK akan menyelenggara jentera ini dan menyewakannya kepada petani yang berminat untuk menanam padi. Ini memudahkan usaha meningkatkan pengeluaran beras tempatan,” katanya lagi. – TVS