RMK13: Kukuhkan rantaian bekalan sektor pertanian – Richard

Disiarkan pada 31 Jul 2025
Sumber Berita: TVS


Richard memberi ulasan selepas pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini. Foto, Afiq Johari (TVS).
 

KUALA LUMPUR, 31 Julai: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu memberi penekanan kepada usaha mengukuhkan rantaian bekalan sektor pertanian bagi menjamin kelestarian makanan dan meningkatkan daya saing negara.

Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu berkata, hala tuju negara yang ditetapkan dalam tempoh lima tahun itu perlu bersifat menyeluruh, inklusif dan mengambil kira potensi pertanian.

Kata beliau ini kerana sektor itu mampu menjana pertumbuhan ekonomi luar bandar.

“Segala perancangan perlu mengambil kira rantaian bekalan itu daripada hiliran hingga ke huluan dan ‘midstream’.

“Sekiranya diberikan bantuan sekali beri atau subsidi sahaja, ia tidak akan memberikan kesan (berpanjangan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada TVS selepas pembentangan RMK13 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini.

Richard pada masa sama memberi contoh kawasan Betong yang merupakan pengeluar utama kepada produk-produk komoditi seperti lada, getah dan kelapa sawit negara.

“Pelbagai perancangan boleh dilaksanakan di Betong di bawah RMK13 untuk mempertingkat aktiviti pertanian dan seterusnya menjadikan Betong hab pengeluaran makanan.

“Kita usahakan industri-industri sampingan, contohnya lada. Jangan hanya menjual lada mentah. Kita boleh proses lada (kepada produk hiliran).

“Sekurang-kurangnya, kita dapat membina industri tempatan dan sudah tentu akan menyediakan peluang-peluang pekerjaan dan memberi tambah nilai kepada produk-produk kita,” tambahnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan RMK13 akan merangkumi usaha bagi mempertingkat penghasilan produk makanan negara termasuk di Sarawak.

Anwar berkata ikhtiar itu dijangka akan meningkatkan sumbangan nilai subsektor agromakanan mencecah RM58 bilion menjelang 2030. – TVS