Pertanian digital tarik minat belia Sarawak

Disiarkan pada 28 Jul 2025
Sumber Berita: TVS

Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata pendekatan pertanian moden diyakini mampu menarik minat generasi muda untuk menceburi sektor pertanian. Foto TVS

BINTULU, 28 Julai: Projek Precision Farming Park di Sungai Sebiew di sini bukan sahaja memberi tumpuan kepada peningkatan hasil pertanian, malah turut dirangka sebagai platform baharu menjana pendapatan menerusi agro-pelancongan dan teknologi digital.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata pendekatan pertanian moden itu diyakini mampu menarik minat generasi muda untuk menceburi sektor pertanian secara lebih serius.

“Kita mahu petani menjana pendapatan tambahan melalui aktiviti agro-pelancongan. Apa yang paling penting, mereka perlu memahami matlamat dan objektif penggunaan teknologi baharu ini.

“Kita tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada tenaga fizikal. Ramai petani hari ini sudah berusia, manakala golongan muda pula kurang berminat kerana menganggap sektor ini kotor, sukar dan mencabar.

“Namun dengan teknologi moden, semua boleh dikendalikan dari rumah,” katanya semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Ladang Pintar seluas 13 hektar di Pusat Latihan Pertanian Sungai Sebiew, hari ini.

Jelasnya lagi, sektor pertanian kini harus dilihat sebagai satu model komersial dan mampan, bukan sekadar untuk sara diri.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Sarawak agar merebut peluang yang tersedia melalui kontrak pertanian dan pelancongan desa, yang berpotensi menjana pendapatan jangka panjang.

Dalam pada itu, Dr Rundi Utom berkata Precision Farming Park yang meliputi kawasan seluas 13 hektar itu merupakan tapak kedua selepas pelaksanaan pertama di Kampung Kabuloh, dan kini memasuki fasa pembangunan selepas semua prosedur diluluskan.

Menurutnya, kejayaan projek ladang pintar ini tidak bergantung kepada keluasan tanah semata-mata, sebaliknya bergantung kepada keupayaan menghasilkan produk berkualiti tinggi menerusi teknologi moden, dengan penglibatan model perkongsian awam-swasta untuk mempercepatkan pelaksanaan.

Beliau optimis projek ini bakal menjadi pemangkin kepada transformasi pertanian Sarawak ke arah yang lebih moden, mampan dan berteknologi tinggi, di samping membuka ruang latihan kepada petani tempatan.