MFICORD Lawat Tapak Pesta Makan Tahun Kedayan Limbang Perkasa Pembangunan Sosiobudaya Komuniti

Posted on 27 Jul 2025
Source of News: UKAS


LIMBANG: Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail telah melakukan lawatan ke tapak Pesta Makan Tahun Kedayan Limbang 2025 bertempat di Dewan Kampung Tuna Gumaya Benuas pada Jumaat.

Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada persiapan menjelang penganjuran edisi ke-9 pesta yang akan berlangsung dari 1 hingga 3 Ogos 2025.

Program tahunan anjuran Persatuan Kedayan Limbang dengan kerjasama Jawatankuasa Perayaan Utama Daerah Limbang ini dijangka menarik antara 5,000 hingga 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung.

Turut hadir dalam lawatan ialah Timbalan Residen Bahagian Limbang Rozita Kulai, Pengerusi Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat yang juga Pengerusi Persatuan Kedayan Limbang serta ketua-ketua jabatan dan pemimpin tempatan.

Menurut Datuk Dr Abdul Rahman dalam sesi temubual bersama media, persiapan tapak pesta dilihat berjalan lancar.

Ujarnya penganjuran secara bergilir-gilir ini bukan sahaja memberi peluang kepada kampung-kampung Kedayan menjadi tuan rumah, tetapi juga mampu menarik pengunjung luar datang ke kampung dan menjana ekonomi setempat.

Tambah beliau lagi, pesta kali ini turut menampilkan Malam Ba’iuh, Malam Kebudayaan dan akan ditutup dengan Majlis Perasmian yang dijangka disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Majlis Daerah Limbang dan semua pihak terlibat kerana sentiasa aktif menganjurkan program berasaskan kebudayaan, sukan dan komuniti, termasuk Pesta Hari Bukit Mas dan Agrofest yang mampu menarik kehadiran pelancong serta menyokong industri kecil dan sederhana seperti homestay, makanan tempatan dan kraftangan.

Datuk Dr Abdul Rahman turut menyeru agar peruntukan bagi acara sebegini ditambah tahun hadapan, memandangkan kos penganjuran mencecah RM100,000 hingga RM150,000.

Pesta Makan Tahun Kedayan ini turut mengundang penyertaan pelbagai persatuan Kedayan dari dalam dan luar negara termasuk Brunei, Sabah, Labuan, Miri, Bintulu, Kuching dan Lawas.

Menjelang pertengahan Ogos, satu lagi acara besar akan diadakan iaitu Northern Region Music Festival (NRMF) yang menampilkan muzik tradisional utara Sarawak dari 15 hingga 17 Ogos.-EDISI UKAS