Agrofest Platform Percepat Transformasi Pertanian Moden di Sarawak
Disiarkan pada 26 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS
SPAOH: Penganjuran Spaoh Agrofest 2025 disifatkan sebagai platform penting dalam memperkukuh agenda transformasi sektor pertanian Sarawak ke arah lebih moden, efisien dan berdaya saing.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, berkata teknologi memainkan peranan utama dalam melonjakkan keupayaan sektor itu, sekaligus mengangkat pertanian sebagai bidang profesional yang mampu menjana pendapatan tinggi.
“Penggunaan teknologi dalam pertanian bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga, malah mampu meningkatkan hasil pengeluaran pertanian secara signifikan.
“Kita mahu pertanian bukan sekadar kerja rutin, tetapi satu bentuk bisnes dan profesion yang mampu menjana pendapatan lumayan,” katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis perasmian Spaoh Agrofest 2025 di Waterfront Spaoh, Sabtu.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurut Dato Sri Dr. Stephen Rundi, program seperti ini bukan sahaja menjadi medan pameran teknologi dan inovasi, malah berfungsi sebagai platform perkongsian ilmu, perbincangan dasar, dan pemerkasaan penggiat sektor pertanian.
“Pertanian harus melalui proses transformasi sepenuhnya – bukan hanya dari aspek kaedah, tetapi juga dari sudut pandangan masyarakat. Kita perlu ubah mentaliti bahawa petani itu golongan yang serba kekurangan.
“Kini, petani moden adalah individu profesional yang celik teknologi dan mampu menguruskan perniagaan berasaskan hasil tanah sendiri,” tambah beliau.
Tambah beliau, Premier Sarawak kini memberi penekanan bukan sahaja kepada peningkatan hasil negeri, tetapi turut menumpukan usaha memperbaiki taraf hidup dan pendapatan rakyat luar bandar.
Justeru itu, Dato Sri Dr. Stephen Rundi menyeru agar lebih ramai belia menyertai sektor pertanian sebagai satu kerjaya masa depan yang berpotensi tinggi, seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan generasi pewaris.
Spaoh Agrofest 2025 dilihat sebagai satu simbolik kepada anjakan paradigma dalam sektor pertanian Sarawak – dari tradisional ke arah lebih moden, berteknologi dan berdaya saing global.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Martin Ben, Penasihat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Tan Sri William Mawan Ikom, Ahli Parlimen Betong Dato Dr. Richard Rapu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razali Gapor, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datu Sirai Daha, Pengarah Pertanian Sarawak Dominic Chunggat dan Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas.-EDISI UKAS