Pasar Tani kekal pacu ekonomi pesisir, lambang transformasi Daro – Safiee

Disiarkan pada 26 Jul 2025
Sumber Berita: TVS

Safiee berucap pada Majlis Perasmian Pesta Daro 2025 hari ini. Foto TVS
 

DARO, 26 Julai: Projek pembinaan Pasar Tani Daerah Daro bernilai RM15 juta bukan sekadar pembinaan kemudahan baharu, sebaliknya menjadi simbol perubahan pesat daerah pesisir itu sebagai pusat utama pengeluaran hasil pertanian dan perikanan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, pembinaan pasar kekal itu akan menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh identiti ekonomi tempatan yang sejak sekian lama bergantung kepada dua sektor tersebut.

“Projek ini sudah semestinya memberi impak besar kepada kawasan kita yang begitu sinonim dengan dua perkara, kekayaan hasil pertanian dan hasil laut atau sektor perikanan,” katanya.

Safiee berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Pesta Daro 2025 yang berlangsung di Pekan Daro, hari ini.

Simbolik pelancaran projek Pasar Tani tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut Safiee, reka bentuk Pasar Tani Daro itu bakal tampil moden dan menarik, dengan konsep yang diinspirasikan daripada pasar ikonik seperti Kubah Ria di Kuching, dan berpotensi menjadi salah satu tarikan pelancongan baharu di kawasan pesisir.

Beliau percaya projek ini juga akan menyelesaikan isu penjaja kecil yang kini masih berniaga di tepi jalan atau di bawah khemah, dengan menyediakan lokasi niaga yang lebih tersusun dan selesa.

“Insya-Allah, semua akan diletakkan di bawah satu bumbung yang teratur. Ini akan bantu peniaga dan mudahkan pelawat untuk dapatkan produk tempatan, tak perlu cari lagi di kampung-kampung, semua produk tempatan ditempatkan di sini,” ujarnya.

Tambah beliau, dengan akses ke Daro kini yang semakin baik dengan kemudahan jalan raya dan siapnya jambatan Muara Lassa, menjadikannya lebih mudah dikunjungi dari bandar-bandar utama seperti Sibu, Sarikei dan Bintulu.

“Dengan masa perjalanan yang lebih singkat, peluang pasaran kepada usahawan tempatan juga semakin luas,” katanya.

Safiee turut menyeru masyarakat agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diwujudkan melalui projek ini dan tidak hanya bergantung kepada usaha kerajaan semata-mata.

Projek Pasar Tani Daro dijadualkan siap pada Februari 2027, dan bakal menyediakan sebanyak 130 unit gerai, sekali gus membuka lebih banyak ruang niaga untuk penduduk tempatan.-TVS