Spaoh, 26 Julai: Penganjuran Spaoh Agrofest 2025 dilihat memberi impak besar kepada penduduk tempatan, khususnya para peniaga dan pengusaha kecil di Daerah Kecil Spaoh.
Pemilik Mit Enterprise, Rebecca Nanti Gawai yang menjual kraftangan Iban, menyifatkan program seperti Agrofest memberi nafas baharu kepada usahawan kecil dan memupuk semangat untuk terus berkarya.
“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan, terutamanya ADUN N.37 Bukit Saban kerana telah memberi peluang kepada kami yang berniaga kraftangan untuk terus berkarya. Saya melihat Spaoh kini semakin membangun dengan banyak kemudahan baharu yang akan diwujudkan,” katanya.
Menurut beliau, program seperti ini bukan sahaja membuka ruang kepada usahawan memasarkan produk, tetapi turut memberi lonjakan kepada pendapatan jualan mereka.
Sementara itu, pemilik Rumah Kueh Betong, Nur Asyikin Kipli turut menyambut baik penganjuran Agrofest, malah berharap agar ia dapat dianjurkan lebih kerap, bukan sahaja di Spaoh malah di kawasan-kawasan berdekatan.
“Program seperti ini sangat membantu kami sebagai peniaga. Biasanya pendapatan harian hanya sekitar RM800, tapi bila ada pesta macam Agrofest, pendapatan boleh mencecah sehingga RM2,000 sehari,” jelasnya.
Tambah beliau, selain memberi peluang berniaga, pesta seumpama ini turut menarik ramai pengunjung sekali gus merancakkan lagi ekonomi tempatan.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Baru Kampung Tengah Spaoh, Hamden Samsudin turut menyokong penganjuran berterusan program seperti Agrofest yang dilihat mampu memberi kesan positif kepada komuniti setempat.
“Program sebegini memberi impak kepada mereka yang berniaga kuih, jahitan, tanaman dan ternakan. Ia menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat Spaoh secara keseluruhan,” katanya.
Dengan kejayaan penganjuran Spaoh Agrofest 2025, penduduk setempat yakin bahawa lebih banyak pesta seperti ini perlu dilaksanakan secara berkala untuk merancakkan lagi pembangunan ekonomi luar bandar.-TVS