SPAOH, 26 Julai: Penganjuran Spaoh Agrofest 2025 bukan sahaja memperkukuh sektor pertanian negeri, malah menjadi platform utama dalam memperkenalkan teknologi dan inovasi terkini kepada golongan petani luar bandar di Sarawak.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, antara objektif utama penganjuran Agrofest adalah untuk memperkasa komuniti tani melalui pameran teknologi, demonstrasi serta taklimat berkaitan isu pertanian dan pembangunan komuniti.
“Inilah perkara baru yang kita mahu lihat seperti di negara-negara maju seperti Thailand, Taiwan, Australia dan New Zealand. Mereka tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada tulang empat kerat, tetapi menggunakan pemikiran dan teknologi moden. Kita hanya perlu menyesuaikan dan mengaplikasikan pendekatan itu di kawasan kita,” katanya ketika merasmikan Spaoh Agrofest 2025 di Tebingan Spaoh pada Sabtu.
Tambah beliau, tema penganjuran iaitu “Industrialising Agro Sector Through Smart Technology” juga menggambarkan komitmen tinggi kerajaan Sarawak dalam memodenkan sektor pertanian, menggalakkan inovasi dan meningkatkan pendapatan petani melalui penggunaan teknologi moden.
Menurutnya, sektor pertanian telah menyumbang sebanyak RM14.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak bagi tempoh 2020 hingga 2023, menjadikannya penyumbang keempat terbesar kepada ekonomi negeri.
Jelas beliau lagi, dengan penglibatan aktif pelbagai pihak serta pendekatan teknologi yang menyeluruh, Spaoh Agrofest 2025 dilihat sebagai pemangkin utama dalam menjadikan Sarawak sebagai hab pengeluaran makanan menjelang tahun 2030.
Sepanjang tiga hari penganjuran bermula 25 hingga 27 Julai ini, sebanyak 20 ruang pameran dan 20 gerai jualan telah disediakan, melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta.
Sebanyak 16 gerai jualan hasil pertanian turut dibuka dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jualan Agro Madani serta Jualan Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).-TVS