SPAOH, 26 Julai: Penganjuran Spaoh Agrofest 2025 disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkasa sektor pertanian luar bandar khususnya di kawasan Spaoh dan Bahagian Betong.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Kerajaan Sarawak komited membantu rakyat luar bandar menjana pendapatan lebih tinggi melalui pendekatan baharu berasaskan teknologi moden serta hala tuju pertanian lebih jelas dan tersusun.
“Ini sebagai permulaan bagi memastikan aktiviti agro pertanian di kawasan ini diperkasa. Kita akan bekerjasama dengan kementerian berkaitan agar rakyat luar bandar mampu meningkatkan pendapatan mereka,” katanya ketika berucap selepas merasmikan Spaoh Agrofest 2025 di Tebingan Spaoh, hari ini.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berharap inisiatif tersebut mampu mengubah petani tempatan menjadi usahawan agro yang moden dan berdaya saing.
Menurutnya, program seperti festival agro penting untuk menyampaikan maklumat dan mendedahkan rakyat khususnya golongan muda kepada penggunaan teknologi baharu dalam sektor pertanian.
“Kita akan perhebatkan lagi penganjuran program seperti ini agar rakyat dapat memahami inisiatif kerajaan, memanfaatkannya dan menyertainya secara berterusan,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan projek penanaman padi moden di Tanjung Sebekut sedang digerakkan dan akan dilengkapi penggunaan mesin serta teknologi canggih.-TVS