Jalan ladang pacu pembangunan padi Batang Sadong

Posted on 26 Jul 2025
Source of News: TVS

Rodiyah menyaksikan penyerahan rasmi daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Samarahan kepada kontraktor pelaksana. Foto UKAS


KUCHING, 26 Julai: Usaha memperkasa sektor pertanian luar bandar terus digiatkan menerusi pelaksanaan Projek Infrastruktur Penanaman Padi di Kampung Sungai Lingkau, Batang Sadong semalam.

Projek bernilai RM380,000 itu melibatkan pembinaan jalan ladang sepanjang 520 meter dengan lebar empat meter, bertujuan memudahkan akses petani ke kawasan sawah sekali gus meningkatkan hasil pengeluaran padi tempatan.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, projek berskala kecil ini membawa impak besar kepada masyarakat setempat, khususnya para petani yang selama ini berdepan kesukaran dari segi kemudahan infrastruktur asas.

“Walaupun kecil, projek ini penting kerana ia menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada petani tempatan, serta menjadi pemangkin kepada pembangunan pertanian luar bandar di kawasan Batang Sadong,” katanya menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Tambah beliau, kerja teknikal yang akan dilaksanakan termasuk penyediaan lapisan subgred, sub-basis, asas serta permukaan jalan batu kelikir bagi memastikan ia menepati keperluan dan spesifikasi pertanian.

“Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan November 2025 dan selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mengukuhkan rantaian bekalan makanan negara,” ujarnya.

Menjelas lanjut, selain meningkatkan kecekapan pengeluaran, inisiatif ini juga berpotensi menjana pendapatan tambahan kepada komuniti petani luar bandar di kawasan berkenaan.

Majlis Penyerahan Tapak Projek berkenaan turut menyaksikan penyerahan rasmi daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Samarahan kepada kontraktor pelaksana.