KOTA SAMARAHAN, 24 Julai: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju transformasi digital dalam sektor agromakanan apabila menjadi wilayah pertama di Malaysia melaksanakan Sistem e-Pineapple yang membolehkan urusan permohonan bantuan industri nanas dijalankan sepenuhnya secara dalam talian.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata pelaksanaan sistem ini membuktikan Sarawak bersedia mendepani cabaran pendigitalan selaras dengan agenda Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 khususnya dalam meningkatkan kecekapan dan ketelusan sektor agromakanan.
Menurutnya, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) juga berusaha untuk memperkenalkan pendigitalan dalam semua aspek industri bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah berdasarkan bukti dan inovasi terkini.
“Dengan penggunaan data besar (big data) dan analitik, kita dapat membuat keputusan yang lebih tepat dan efisien dari segi pengurusan ladang hingga pemprosesan produk nanas. Penyelidik dan pendidik memainkan peranan yang sangat besar dalam menyediakan data dan pengetahuan yang diperlukan untuk memastikan bahawa setiap keputusan yang diambil adalah berdasarkan bukti dan inovasi terkini.
“Dengan sistem ini, pentadbiran projek menjadi lebih efisien, data pekebun dan pengeluaran dapat dikumpul secara langsung dan pemantauan projek dapat dilaksanakan secara lebih telus dan cepat. Saya percaya penggunaan sistem ini akan menjadi contoh terbaik untuk negeri-negeri lain,” menurutnya.
Teks ucapannya dibacakan Setiausaha Tetap M-FICORD Datu Sirai Daha pada Hari Bertemu Pelanggan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Peringkat Sarawak di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Mohd Khairuzamri M. Salleh berkata pelaksanaan e-Pineapple membolehkan semua urusan permohonan bantuan dan penyertaan skim di bawah LPNM dilakukan secara digital tanpa keperluan hadir secara fizikal ke pejabat sekali gus memudahkan masyarakat di Sarawak mengakses peluang dalam industri nanas.
“Lebih mengujakan lagi, e-Pineapple ini merupakan satu sistem yang kita rangka begitu lama dan Sarawak merupakan negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan sistem e-Pineapple kerana di Semenanjung Malaysia, mereka masih menggunakan kaedah manual,” katanya lagi.
Menurut beliau, inisiatif ini juga berupaya memperkukuh usaha LPNM dalam memodenkan industri nanas negara, memastikan pengumpulan data pekebun yang lebih tepat serta mengoptimumkan pemantauan projek bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun.
Menurut LPNM dalam satu kenyataan media, sistem tersebut dilancarkan sejak 30 Mei lalu dimana 243 pekebun Sarawak telah berdaftar. – TVS