Pakan Agro Fest tarik 9,000 pengunjung

Posted on 12 May 2025
Source of News: TVS

Siti Natrah Abas menunjukkan produk tani yang dipamerkan di Gerai IADA Kalaka, Saribas dan Betong di tapak Agro Fest Pakan. Foto TVS
 

PAKAN, 12 Mei: Pakan Agro Fest yang berlangsung di Stadium Pakan berjaya menarik kehadiran lebih 9,000 pengunjung sekali gus menjadi bukti sambutan hangat untuk memajukan sektor pertanian dan penternakan tempatan.

Penganjuran program adalah untuk mempamerkan kaedah serta teknologi moden dalam bidang pertanian dan penternakan.

Pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Koko Malaysia, Koperasi Lada Julau Pakan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) turut membuka rerurai dan memberikan penerangan berkaitan bantuan, peluang serta teknologi terkini kepada pengunjung.

Menurut seorang pengunjung, Rosmah Usop, 45, dari Rumah Panjang Sungai Engkabang, dia teruja kerana banyak maklumat berguna diperoleh menerusi pameran dan bengkel yang diadakan sepanjang program.

“Saya tertarik dengan teknik fertigasi yang diperkenalkan. Ia nampak mudah dan sesuai untuk tanaman sayur di sekitar kawasan rumah kami,” katanya.

Sementara itu, wakil Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kalaka, Saribas dan Betong , Siti Natrah Abas berkata, pihaknya berbesar hati dapat berkongsi pengetahuan baharu sekali gus membuka minda petani di luar bandar.

“Kami bangga dapat hadir di sini (Agrofest Pakan) kerana dapat membantu mempromosikan produk yang dihasilkan usahawan terutama mereka baharu berjinak dalam bidang ini,” ujarnya.

Selain pameran dan bengkel, pertandingan hasil pertanian, jualan produk tempatan serta demonstrasi penternakan moden turut menjadi tarikan utama kepada pengunjung sepanjang dua hari program berlangsung.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikon berkata, penganjuran program memperkasakan sektor pertanian dan penternakan itu selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan keterjaminan makanan negara.-TVS