PADAWAN: Cadangan pembinaan Pejabat Sub Stesen Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuching di sini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan pertanian setempat, khususnya dalam memperkukuh sistem sokongan kepada komuniti peladang luar bandar.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr. Jerip Susil, berkata kemudahan ini dirancang bagi memudahkan penyelarasan pengurusan dan pengedaran input pertanian kepada peladang di kawasan yang pesat membangun itu.
“Kita mahu sistem sokongan kepada peladang di Padawan menjadi lebih cekap, berpusat dan tersusun.
“Penubuhan pejabat sub stesen ini akan meningkatkan keberkesanan penyampaian input serta maklumat kepada peladang kita,” katanya semasa mengadakan lawatan rasmi ke tapak cadangan pembinaan, semalam.
Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong menegaskan bahawa pembinaan pejabat ini penting bagi memastikan komuniti peladang luar bandar tidak terpinggir daripada arus kemajuan dan terus mendapat akses cepat kepada bantuan serta khidmat teknikal pertanian.
Bagaimanapun, pelaksanaan projek tersebut masih tertakluk kepada kelulusan teknikal daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Residen Bahagian Kuching, memandangkan lokasi cadangan melibatkan sebahagian kawasan dalam kompleks Pejabat Daerah Kecil Padawan.