BINTULU: Program AgriSTEM yang dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru telah membuahkan hasil apabila 40 pelajar Kelab STEM berjaya menuai Golden Melon (melon emas) pertama mereka, semalam.
Ia sekali gus menandakan kejayaan pendekatan pendidikan inovatif yang menggabungkan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dengan pertanian moden.
Projek yang bermula pada 26 Februari lalu melibatkan penanaman 200 pokok Golden Melon di ladang mini sekolah terbabit di bawah bimbingan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Ts. Dr. Shiamala Devi Ramaiya.
Sarawak transportIa bukan sekadar aktiviti kokurikulum, malah menjadi medium pembelajaran langsung yang menghubungkan teori bilik darjah dengan aplikasi dunia sebenar.
“Penuaian ini adalah simbol kejayaan pelajar bukan sahaja dalam aspek pertanian, tetapi juga dalam menguasai pengetahuan saintifik dan kemahiran keusahawanan,” kata Dr. Shiamala.
Pada program tersebut, pelajar didedahkan kepada proses lengkap penanaman seperti pengiraan media tanaman, pengurusan nutrien, pengawalan pH tanah, pendebungaan manual serta pembuatan produk berasaskan hasil tanaman seperti ais krim dan dadih melon.
Kejayaan ini turut melibatkan sokongan aktif pihak sekolah dan komuniti setempat.
Kehadiran ibu bapa dan masyarakat pada hari penuaian menyuntik semangat kepada pelajar, malah mencetuskan inspirasi untuk menjadikan pertanian sebagai sebahagian daripada kehidupan harian.
Guru Besar SK Kampung Baru, Mohamed Khaidir Mohamed Arebi, menyifatkan AgriSTEM sebagai program yang membawa perubahan positif terhadap cara pelajar memahami pembelajaran.
“Pengalaman ini memberi nilai tambah kepada pembelajaran mereka – bukan sahaja memahami konsep, tetapi juga melihat hasilnya secara nyata,” katanya.
Beliau berharap program AgriSTEM dapat dikembangkan lagi dengan pusingan penanaman kedua dijangka bermula dalam masa terdekat sebagai kesinambungan pembelajaran.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Baru, Sikong Lusek, menyokong penuh inisiatif ini sekali gus melihatnya sebagai platform terbaik dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja celik STEM, tetapi juga bersedia menjadi pelapis dalam industri agro-teknologi masa depan.
Kejayaan ini membuktikan bahawa pendidikan yang bersifat holistik dan praktikal mampu membentuk generasi muda yang inovatif, berdaya saing dan relevan dalam pembangunan negara.