Naik taraf ICQS Sungai Tujoh Miri dijadual siap hujung 2025

Posted on 20 Apr 2025
Source of News: TVS


Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitiri Kampung Lembah Hijau, Miri hari ini. Foto Salasiah Safian (TVS)
 

MIRI, 20 April: Projek naik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh, Miri yang bermula pada bulan ini dijangka siap penghujung tahun ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ia melibatkan kerja penambahan empat lagi lorong bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di ICQS tersebut.

“Untuk satu projek yang membesarkan Sungai Tujoh iaitu dia akan tambah empat lorong lagi jadi kerja ini sedang dijalankan. Kontrak telah diberi dan mereka akan bermula bulan ini.

“Ini supaya kereta-kereta Malaysia tak payah berbaris bersama dengan kereta Brunei kita boleh lalu dulu. Kereta Malaysia itu tak payah tunggu lama dah Kastam dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Mesra Aidilfitri 2025 di Kampung Lembah Hijau Miri di sini hari ini.

Sementara itu, menyentuh mengenai kepelbagaian sambutan perayaan di Sarawak beliau berkata, rakyat Sarawak sangat beruntung dengan kepelbagaian ini.

Katanya, semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan rakyat Sarawak membolehkan perayaan-perayaan ini disambut dalam keadaan yang harmoni.

“Inilah cara hidup kita di Sarawak khasnya di sini. Kita sangat bertuah kerana setiap tahun, kita boleh merayakan pelbagai perayaan dalam suasana yang penuh dengan semangat muhibah, semangat kemesraan dan juga semangat perpaduan. Inilah yang sangat penting bagi kita di Sarawak,” ujarnya lagi. – TVS