KUCHING, 12 April: Perang tarif global yang dilancarkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan kadar tarif mencecah lebih 100 peratus menjadi peringatan tegas bahawa Sarawak perlu mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import, terutamanya beras.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ketegangan terbabit menjadi anjakan kepada Kerajaan Sarawak untuk memperhebat usaha meningkatkan pengeluaran beras tempatan demi menjamin sekuriti makanan negeri ini.
Menurutnya, Sarawak mengimport kira-kira 245,000 tan beras setiap tahun manakala hanya 20 peratus daripada keperluan beras negeri ini dihasilkan secara tempatan.
“Kita ada tanah, kita ada kemudahan. Jadi kenapa kita masih bergantung kepada beras import? Jika keadaan ekonomi dunia terus bergolak dan pelbagai tarif dikenakan, apabila import terjejas, kita sendiri akan berdepan dengan kekurangan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 anjuran Anak Perantau Simanggang (APS) di Dewan Hikmah, Kuching, hari ini.
Jelasnya, kerajaan menyasarkan untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya 240,000 metrik tan beras setahun, dan satu projek perintis bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) di Kampung Gedong telah menunjukkan kejayaan penggunaan teknologi dan kaedah penanaman baharu.
“Dalam projek itu, kita berjaya menghasilkan sembilan metrik tan beras dalam satu musim bagi setiap hektar tanah, berbanding hanya satu tan sebelum ini,” katanya.
Tambah beliau, padi boleh dituai sehingga lima musim dalam tempoh dua tahun. Kawasan seluas 10,000 hektar di sekitar Lingga, Banting hingga ke Tanjung Bijat telah dikenal pasti sebagai lokasi strategik untuk perluasan tanaman padi.
Abang Johari turut berkongsi kejayaan projek penanaman padi di Kuala Rajang yang diusahakan oleh sebuah syarikat dengan menyewa tanah milik penduduk tempatan.
Syarikat tersebut berjaya menghasilkan lapan tan padi dan membolehkan pemilik tanah memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.
“Maknanya tanah itu tidak terbiar. Kalau syarikat itu tidak berjaya, orang lain boleh ambil alih. Tetapi pemilik tanah tetap mendapat hasil. Ini antara ikhtiar dan usaha yang sedang kita jalankan,” ujarnya.
Pada 2 April lalu, Trump mengumumkan pengenaan tarif timbal balik terhadap beberapa negara, termasuk Malaysia, sebanyak 24 peratus, sebagai tindak balas terhadap ketidakseimbangan perdagangan global.
Susulan pengumuman itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Putrajaya akan menghantar pegawainya ke Washington pada akhir April ini untuk memulakan dialog berhubung tarif berkenaan.
Bagaimanapun, Trump kemudiannya mengumumkan penangguhan pelaksanaan tarif tersebut selama 90 hari bermula Khamis lalu, yang disifatkan Anwar sebagai satu kelegaan sementara buat negara. – TVS