Berita

 

GKCDA peruntuk RM3 juta bina infrastruktur pertanian di Kedup

Disiarkan pada 27 Mar 2025
Sumber Berita: TVS

ADUN Kedup yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben turun padang melihat perkembangan projek Foto: UKAS

SERIAN, 27 Mac: Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi membina dan menaik taraf kemudahan infrastruktur pertanian di DUN Kedup.
Menurut laporan UKAS, projek ini merangkumi naik taraf serta pembinaan jalan pertanian di beberapa kawasan termasuklah di Kampung Semukoi A, Tinting Temiyang, Kampung Antayan Kerupok dan Kampung Bunan Gega/Punok dan juga di kawasan Ntutuh-Tauh.
Penyerahan simbolik dan pecah tapak projek di ketiga-tiga kampung ini telah disempurnakan ADUN Kedup yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben.
Majlis dimulakan dengan sesi taklimat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Serian, yang menyatakan bahawa projek naik taraf dan bina baru jalan pertanian di kawasan Tinting Temiyang, Antayan Kerupok dan Kampung Bunan Gega/Punok dijangka siap dalam tempoh 10 bulan.
Manakala itu, projek naik taraf jalan pertanian di Kampung Semukoi A dijangka siap dalam tempoh enam bulan, tertakluk kepada keadaan cuaca.
Dalam ucapannya, Martin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup menyeru kepada Ketua Kampung dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak DID serta kontraktor yang dilantik bagi memastikan projek ini berjalan lancar tanpa sebarang pertikaian tanah dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Beliau juga berharap pemilik tanah di sepanjang jalan pertanian ini dapat memanfaatkan peluang ini dengan membangunkan tanah terbiar mereka untuk penanaman komersial seperti kelapa sawit, buah-buahan, dan sayuran, yang dapat meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka.
Tambah Datuk Martin, banyak lagi projek di bawah GKCDA akan dilaksanakan sepanjang tahun ini untuk terus memajukan kawasan sekitar.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Tadbir Khas GKCDA Datu Ik Pahon Joyik, Wakil Pegawai Daerah Serian Natasha Tiong Nulie dan Ketua Kampung Semukoi Stephen Kua Suka.